suria

Muhyiddin didakwa terlibat pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta

Muhyddin didakwa menerima secara RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd. Foto: AZHAR MAHFOF/The Star.

BEKAS perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam atas dakwaan pengubahan wang haram pada Isnin.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dibaca bersama Seksyen 87 (1) akta sama.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, didakwa, atas kapasitinya sebagai presiden Bersatu, menerima secara haram RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd di Amcorp Mall, cawangan AmBank Petaling Jaya.

Beliau didakwa menerima wang yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu AmBank pada 7 Jan tahun lepas.

Jika didapati bersalah, Muhyiddin berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada Ahmad Akram Gharib, Mohd Fadhly Mohd Zamry, Zander Lim Wai Keong, Kali Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa atas 6 pertuduhan, Muhyiddin mengaku tidak bersalah

Pihak pendakwaan memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk disebut pada 26 Mei bersama pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin di sana minggu lepas.

Ia (pendakwaan) juga menawarkan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur digunakan untuk pertuduhan hari ini juga.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur juga telah memerintahkan Muhyiddin menyerahkan pasport miliknya.

Hakim Rozilah Salleh bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Kuala Lumpur dan menggunakan jaminan yang ditetapkan di sana untuk kes semasa.

Minggu lalu, Muhyiddin didakwa dengan pelbagai pertuduhan kerana rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau telah didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta serta dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM195 juta.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain