suria

“Nanti kakak masuk neraka seorang ke?”- Ibu dedah cerita di sebalik kejadian, anak tak sengaja ‘tikam’ adik

Seorang ibu menceritakan kisah di sebalik kejadian kakak baling pisau kepada adik.

DIKEMASKINI

MENYAYAT hati insiden tragis minggu lalu yang membabitkan dua beradik, apabila salah seorang daripada mereka maut selepas terkena pisau yang dibaling kakaknya.

Ramai bersimpati dengan nasib keluarga itu yang bukan sahaja kehilangan seorang anak lelaki berusia 16 tahun, malah seorang anak perempuannya berusia 18 tahun pula direman bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

Ibu kepada mangsa dan suspek itu berkongsi cerita mengenai insiden yang berlaku di rumah mereka di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh di Iskandar Puteri.

kakak tikam adik 4

Seorang remaja lelaki maut dipercayai tertusuk pisau dibaling kakaknya.

Menerusi temubual bersama wartawan 999, program di TV3, ibu kepada dua beradik itu mendedahkan bahawa kejadian bukan disebabkan oleh perebutan kerusi sebagaimana yang didakwa banyak pihak.

"Bukan berebut kerusi, tetapi kerusi yang dijatuhkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dua-dua anak yang baik, jaga solat lima waktu" - Keluarga masih terkejut kes adik tertusuk pisau dibaling kakak

Keadaan tersebut mencetuskan perbalahan mulut dan provokasi antara mereka, yang berlarutan sehingga selepas pulang dari sekolah.

"Sekejap je tiba-tiba adik keluar. Saya dengar anak nombor 3 saya cakap, 'Ibu, ibu abang (mangsa) dah berdarah banyak ni.'

"Saya cakap 'Kakak (suspek) kau dah buat apa ni?' Saya panggil kakak keluar sebab takut kakak buat sesuatu kan. Kakak dah macam panik sangat.

"Kakak dah macam, 'Ya Allah abang apa kakak dah buat ni? Abang maafkan kakak, ibu maafkan kakak, jangan benci kakak. Kakak tak sengaja ni, ya Allah. Ibu, nanti kakak masuk neraka seorang ke? Kita tak sama-sama dekat syurga ke?'," katanya.

kakak tikam adik 3

Remaja berusia 18 tahun direman bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun kata wanita berkenaan, dia cuba menenangkan anak perempuannya dan memberitahu apa yang berlaku bukan disengajakan.

"Saya cakap 'Kakak ni tak sengaja, benda ni sangat cepat'," katanya.

Tambah si ibu lagi, apa yang berlaku bukan disebabkan oleh tekanan emosi.

"Saya rasa dia tak sengaja," katanya.

Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kanak-kanak di Johor Bahru, pada Rabu atas tuduhan tanpa niat menyebabkan kematian adiknya, minggu lalu.

Memetik laporan Harian Metro, tertuduh yang berusia 17 tahun 11 bulan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja berkenaan didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya yang berusia 16 tahun yang mana dia tahu perbuatannya mungkin menyebabkan kematian di rumah mereka di Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai, jam 1.50 petang, 19 Oktober lalu.

kakak tikam adik 2

Ibu mangsa dan suspek bercerita mengenai kejadian.

Anak sulung daripada lima beradik itu didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah setiap sebulan sekali.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi laporan bedah siasat pada 5 Disember ini.

Pada 19 Oktober lalu, media melaporkan, seorang kakak membaling pisau ke arah adiknya sehingga menyebabkan remaja lelaki itu meninggal dunia.

Dua beradik itu dilaporkan bergaduh akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah, sebelum kakak bertindak membaling pisau ke arah adiknya selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan tusukan hujung pisau pemotong sayur yang terkena pada saluran darah utama (arteri) di bahagian kanan lehernya sekali gus menyebabkan pendarahan yang banyak.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain