suria

Tersalah lapor cukai? Ketahui perkara yang perlu anda lakukan

Pembayar dinasihatkan supaya tidak melakukan kesalahan ketika kemaskini data.

MUSIM pengisytiharan pendapatan penggajian Tahun Taksiran 2021 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) bakal berakhir.

Tarikh akhir adalah 30 April 2022 bagi yang mengemukakan borang secara manual, manakala menerusi e-Filing pada 15 Mei 2022.

Bulan ini sememangnya dinantikan kerana berkemungkinan pembayar cukai akan menerima bayaran balik (tax refund) sekiranya cukai yang perlu dibayar lebih rendah daripada amaun Potongan Cukai Bulanan atau Ansuran CP500.

Namun, bagaimana pula sekiranya tersalah lapor cukai?

Antara jenis kesilapan yang biasa diterima oleh HASiL adalah kegagalan melaporkan pendapatan yang betul; tidak menuntut amaun pelepasan yang dibenarkan seperti tertinggal menuntut insurans nyawa, derma, caruman Tabung SSPN atau pelepasan anak.

Selain itu, kesilapan yang timbul daripada salah faham undang-undang. Contohnya, pada 2021 ramai ibu bapa yang membeli komputer atau tablet bagi kegunaan anak-anak untuk belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR). Resit pembelian komputer atau tablet tersebut telah diletakkan atas nama anak. Oleh itu, ibu bapa tidak layak menuntut pelepasan ini kerana resit telah diletakkan atas nama anak. Justeru, pastikan sebarang pembelian adalah diletakkan atas nama pembayar cukai bagi tujuan menuntut pelepasan tersebut.

Kesilapan lain yang dilakukan adalah terlebih menuntut pelepasan atau derma. (Derma yang layak dituntut adalah derma kepada kerajaan, kerajaan negeri, institusi yang layak di bawah Seksyen 44(6). Senarai institusi boleh disemak di portal rasmi HASiL https://www.hasil.gov.my/pautan-pantas/perkhidmatan/derma/

Berikut adalah situasi dan kaedah pindaan yang perlu dilakukan:

1. Tidak sengaja terlebih lapor pendapatan atau terkurang tuntut pelepasan dalam Borang BE asal yang dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Contoh: A telah melaporkan pendapatan penggajian sebanyak RM500,000 dalam e-BE Tahun Taksiran 2021 pada 1 Mac 2022. A menyedari kesilapan tersebut dan pendapatan yang betul adalah RM50,000.

Pindaan secara dalam talian iaitu melalui e-Permohonan pindaan BE yang boleh digunakan mulai 1 April 2022 di https://mytax.hasil.gov.my

Jika bukan e-BE, rayuan secara manual ke cawangan HASiL berdekatan

2. Tidak sengaja terkurang lapor pendapatan atau terlebih tuntut pelepasan.

Contoh: A telah menuntut pelepasan anak di bawah 18 tahun seramai tiga orang dalam e-BE TT2021. Isteri A juga menuntut bilangan anak yang sama. Setelah berbincang, A dan isteri bersetuju dua orang anak dituntut oleh isteri. Dan A boleh menuntut bilangan seorang anak sahaja.

- Pembayar cukai boleh mengemukakan surat rayuan bersama-sama dokumen yang berkaitan ke cawangan HASiL yang mengendalikan fail.

- Pembayar cukai yang telah mengemukakan BN asal dalam tempoh yang ditetapkan boleh mengemukakan BNT dalam tempoh enam bulan daripada tarikh akhir pengemukaan BN asal. Pembayar cukai perlu kemukakan BNT secara serahan tangan atau pos ke cawangan yang mengendalikan fail pembayar cukai.

Pindaan terhadap taksiran yang telah dilaporkan kepada HASiL pula boleh dibuat berdasarkan tiga kaedah berikut:

1. Secara manual - Pembayar cukai hadir ke cawangan HASiL sebelum tempoh yang ditetapkan menurut subseksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) (tiada penalti dikenakan bagi tambahan cukai).

Bawa bersama-sama surat rayuan/ borang CP15C (Permohonan Relif kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri berkenaan kesilapan atau khilaf), salinan e-Filing/ borang kertas yang telah dihantar, dokumen dan resit yang berkaitan dengan pindaan taksiran berkenaan.

Semua dokumen ini akan diserahkan ke cawangan HASiL yang mengendalikan fail cukai pembayar cukai tersebut.

Pembayar cukai yang mengisi maklumat secara manual perlu hadir ke pejabat LHDN. - Gambar hiasan

Pembayar cukai yang mengisi maklumat secara manual perlu hadir ke pejabat LHDN. - Gambar hiasan

2. Borang e-BE Tahun Taksiran 2021 (individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan) yang dikemukakan melalui e-Filing dalam tempoh iaitu antara 1 Mac 2022 hingga 15 Mei 2022 boleh menghantar permohonan pindaan secara dalam talian melalui https://mytax.hasil.gov.my iaitu e-Permohonan Pindaan BE bagi Tahun Taksiran 2021 bermula pada 1 April 2022.

e-Permohonan Pindaan BE hanya terpakai bagi kes pembayar cukai yang terlebih melaporkan pendapatan dan yang terkurang menuntut pelepasan/ rebat cukai di bawah subseksyen 131(1) ACP 1967. Jika borang BE asal dikemukakan menggunakan Borang Manual, kaedah ini tidak terpakai.

3. Borang Nyata Terpinda (BNT) Tahun Taksiran 2021 turut disediakan di portal rasmi HASiL mulai 1 Mei 2022 bagi pembayar cukai yang ingin membuat pindaan sendiri atas maklumat atau taksiran bagi membetulkan kesilapan dalam Borang Nyata berhubung dengan pendapatan terkurang atau tidak lapor; perbelanjaan atau tuntutan lain terlebih tuntut; elaun modal atau insentif atau pelepasan yang terlebih tuntut.

Ringkasnya BNT ini perlu digunakan bagi pindaan pengisytiharan cukai yang akan meningkatkan amaun taksiran atau jumlah cukai kena dibayar. BNT perlu dikemukakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh yang ditetapkan dalam ACP 1967 bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) asal termasuk yang dihantar secara e-Filing di dalam tempoh yang ditetapkan.

BNT boleh dikemukakan ke cawangan HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan pembayar cukai sama ada secara serahan tangan atau melalui pos. Untuk maklumat lanjut sila layari Portal Rasmi HASiL > Perundangan > Garis Panduan > Garis Panduan Bil. 1 Tahun 2020 : Prosedur Pengemukaan Borang Nyata Terpinda.

Pindaan maklumat asas seperti nombor telefon, e-mel, alamat surat-menyurat, kediaman dan premis perniagaan serta nama dan akaun bank boleh dibuat melalui e-Kemaskini di pautan https://mytax.hasil.gov.my/. Sebagai contoh jika pembayar cukai tersilap mengisi nombor akaun bank pada borang nyata cukai yang asal.

Untuk makluman, pindaan hanya boleh dilakukan sekali sahaja.

Walau bagaimanapun, sekiranya masih terdapat pindaan selepas permohonan pindaan pertama dibuat, pembayar cukai perlu mengemukakan surat rayuan beserta dokumen dan resit yang berkaitan ke cawangan yang mengendalikan fail cukai mereka.

Sementara itu, pindaan yang dibuat sendiri melalui BNT oleh pembayar cukai boleh mengakibatkan perubahan pada taksiran cukai seperti:

1. Daripada tidak kena cukai kepada kena cukai.

2. Daripada kena cukai kepada cukai tambahan.

3. Daripada terima bayaran balik berkemungkinan tiada bayaran balik, malah akan wujud baki cukai kena dibayar.

Justeru, pembayar cukai perlu elak daripada melakukan kesilapan dalam pelaporan cukai.

Kesimpulannya, masalah tersalah lapor ini boleh dielakkan jika pembayar cukai menyemak dengan meneliti maklumat yang telah dikunci masuk beserta resit-resit berkaitan sebelum borang BE dihantar.

Pembayar cukai juga dinasihatkan supaya cakna dengan maklumat terkini percukaian yang boleh diakses di portal rasmi HASiL www.hasil.gov.my

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain