suria

Ribuan anak Malaysia setia menanti, Tambak Johor ‘meriah’ sejurus sempadan dibuka

Pembukaan sempadan bermula 1 April memberi kelegaan buat rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

PEMBUKAAN sempadan negara bermula 1 April disambut baik oleh rakyat Malaysia yang mencari rezeki di Singapura.

Sejak Khamis malam, tinjauan mendapati ribuan individu sudah beratur untuk memasuki Malaysia, kurang sejam sebelum pembukaan semula secara rasmi bermula pukul 12 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pintu sempadan darat Singapura – Malaysia dibuka 1 April... ada 3 perkara anda tak perlu buat

Paling jelas tentunya penunggang-penunggang motosikal yang penuh sesak di sepanjang laluan ke Malaysia, manakala pejalan kaki dilihat menunggu dengan sabar untuk menyeberangi Tambak.

Barisan kenderaan yang panjang juga turut kelihatan.

Sejurus pukul 12 malam, kereta dan penunggang motosikal melintasi sempadan manakala orang ramai turut berkongsi video di media sosial, memaparkan mereka sedang berjalan di sepanjang Tambak.

Orang ramai kelihatan berjalan keluar dari Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Singapura di kedua-dua Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.

Ahli keluarga juga dilihat tidak sabar menunggu insan tersayang berhampiran dua bangunan itu seawal jam 11 malam.

Andrew Tan yang menetap di Singapura merupakan salah seorang daripada pengembara yang memasuki Malaysia pada tengah malam.

Menurut pemuda berusia 34 tahun itu yang pernah berulang-alik setiap hari antara Johor dan Singapura sebelum pandemik Covid-19, pembukaan semula sempadan dua negara ini dianggap seperti mimpi menjadi kenyataan.

Woodlands Checkpoint — Photo sourced from social media

Penunggang motosikal yang bersesak di sepanjang laluan ke Malaysia.

Malah, dia tidak sabar untuk berjumpa dengan keluarga terutama dua anaknya yang masih kecil.

Tan berkata dia tidak kisah terperangkap dalam kesesakan di sepanjang Tambak Johor pada tengah malam, kerana dia telah mengambil cuti untuk bersama keluarganya.

Tambahnya, pembukaan semula sempadan juga akan membolehkan dia menjimatkan kos sewa bilik dan makan.

“Setiap bulan saya terpaksa mengeluarkan kira-kira S$1,200 (RM3,700) untuk sewa bilik dan perbelanjaan (di Singapura).

“Ia adalah masa yang sukar sejak penutupan sempadan dua tahun lalu. Saya baru pulang tiga kali dalam dua tahun lepas,” katanya, sambil menambah dia belum bercadang untuk melepaskan biliknya (di Singapura) kerana masih memikirkan bagaimana keadaan atau kesesakan lalu lintas akan berlaku di Tambak Johor berikutan prosedur operasi standard (SOP) baharu.

Tan berkata apabila pergerakan sempadan kembali lancar, dia akan kembali berulang-alik setiap hari antara Johor dan Singapura. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain