suria

Prof Dr Roshana direhatkan, UiTM siasat cari kebenaran... Awas jika sebar maklumat sulit!

Profesor Dr Roshana Takim direhatkan daripada tugasan pengajaran mulai 1 April 2022.

AKIBAT memperlekeh seorang pelajar ketika sesi pembelajaran secara dalam talian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) memutuskan untuk merehatkan Profesor Dr Roshana Takim bermula 1 April.

Perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti yang diadakan pada 31 Mac.

"UiTM menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti yang diadakan pada 31 Mac 2022 memutuskan untuk merehatkan Profesor Dr Roshana Takim daripada tugasan pengajaran mulai 1 April 2022 sehingga siasatan lengkap dilaksanakan," demikian berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Profesor viral akan dikenakan tindakan rupa-rupanya pensyarah kontrak UiTM Seri Iskandar... hikmahnya, siswa B40 dapat komputer riba

ARTIKEL BERKAITAN: Status FB 2020 jadi tular, pensyarah viral pernah luah rasa kesian pada golongan memerlukan... ‘UiTM’ dan ‘prof’ trending di Twitter

UiTM menerusi Jabatan Komunikasinya memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat adalah bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

Kenyataan tersebut turut menyebut pihak universiti memandang serius terhadap mana-mana pihak yang sengaja ataupun tidak menyebarkan maklumat sulit yang boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti serta menggugat keselamatan warganya.

uitm statement

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan UiTM pada Jumaat.

"UiTM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran (posting) yang mengelirukan.

"UiTM sentiasa cakna dan prihatin kepada kesejahteraan warga akademik dan juga pelajarnya.

"Dalam konteks ini, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian.

"Penilaian dan pemantauan terhadap Profesionalisme Pensyarah (PRO-PENS) dibuat secara rawak setiap semester boleh menjadi elemen tambahan dalam proses kenaikan pangkat dan pelanjutan kontrak perkhidmatan," demikian menurut kenyataan tersebut lagi.

Terdahulu dalam kenyataan pada Rabu, UiTM berkata pihaknya akan mengambil tindakan ke atas pensyarah wanita berkenaan selepas videonya tular di media sosial sejak malam Selasa.

ROSHANA 1

Tangkap layar (screenshot) pensyarah berkenaan yang viral sejak beberapa hari lalu.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, institusi pengajian itu sedang meneliti kes berkenaan.

"Dia adalah pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar, Perak dan mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU).

"Saya difahamkan insiden terbabit berlaku pada semester lalu bagaimanapun ia baru ditularkan. Isu ini mesti ada perancangan kenapa ia baru dimuat naik.

"Bagaimanapun tindakan akan diambil dan untuk pelajar itu kita sudah mengesan dan memberikan peralatan yang diperlukan (komputer riba)," katanya.

Tambah Roziah, Profesor Dr Ts Roshana Takim adalah pensyarah yang baik dan mungkin berlaku sedikit kesilapan mengenai tindakannya memarahi pelajar berkenaan.

Terdahulu, satu rakaman video klip berdurasi 1 minit 45 saat tular memaparkan pensyarah wanita tersebut memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan B40.

Menerusi rakaman itu, pensyarah berkenaan turut mengarahkan pelajar terbabit meminta kakaknya menjual gelang emas bagi membeli komputer riba untuknya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain