suria

Selangor rapatkan saf jemaah mulai 1 April, solat tarawih 20 rakaat di semua masjid, surau

Warga Selangor boleh menunaikan solat berjemaah tanpa penjarakkan sosial bermula 1 April. Gambar hiasan

BERKUAT kuasa 1 April depan, warga Selangor dibenarkan menunaikan solat berjemaah di masjid, surau dan musolla dengan merapatkan saf seperti biasa.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahziman Ahmad menerusi satu kenyataan pada Ahad.

"Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjunjung titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor memaklumkan bahawa baginda berkenan supaya solat berjemaah di masjid, surau dan musolla di negeri Selangor boleh dirapatkan saf seperti biasa (without physical distancing).

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia berada di fasa ‘peralihan ke endemik’ mulai 1 April... ini SOP yang perlu anda tahu

"Ketetapan ini dibuat setelah baginda mengadakan satu rundingan bersama dengan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Timbalan Mufti Selangor, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor dan beberapa orang Ahli Dewan di-Raja Selangor," katanya dalam kenyataan tersebut.

Selain itu kata Mohd Shahziman, baginda juga berkenan supaya aktiviti solat tarawih pada Ramadan ini dilakukan di semua masjid, surau dan musolla di sekitar Selangor.

"Solat tarawih juga dikekalkan untuk dilaksanakan dengan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan.

"Selain itu, semua aktiviti lain di masjid, surau dan musolla boleh dilakukan termasuk aktiviti di sepanjang bulan Ramadan boleh dilaksanakan seperti biasa," jelasnya lagi.

Seiring dengan perkembangan tersebut, Jais turut menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) di masjid, surau dan musolla di seluruh negeri untuk dipatuhi para jemaah.

"Pertama, hanya individu yang telah lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19 sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Bagi individu yang berumur di bawah 18 tahun dan telah lengkap menerima dua dos vaksin sahaja yang dibenarkan hadir ke masjid, surau dan musolla.

"Individu yang hadir ke masjid, surau dan musolla dikehendaki membawa sejadah sendiri dan sentiasa memakai pelitup muka.

"Individu yang bergejala diminta menangguhkan dari menghadiri sebarang aktiviti di masjid, surau dan musolla sehingga tahap kesihatan dapat dipastika demi menjaga kesejahteraan jemaah yang lain," katanya.

Tambahnya, satu ketetapan lebih terperinci mengenai perkara tersebut yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April ini akan dikeluarkan Jais dalam masa terdekat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain