suria

Banjir Selangor, amaran cuaca buruk tidak diendahkan - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto: BERNAMA.

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan enam amaran penting mengenai hujan berterusan yang tidak diendahkan oleh "pihak tertentu" yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ini berikutan persepsi bahawa hanya negeri di pantai timur semenanjung akan dilanda banjir berikutan cuaca buruk.

“Persiapan menghadapi musim tengkujuh lebih tertumpu di pantai timur manakala ramai tak menjangka banjir luar biasa berlaku di Selangor,” katanya ketika berucap di Parlimen pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, berikutan banjir luar biasa dan tidak dijangka itu, situasi kecoh pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor menyebabkan pasukan penyelamat bergelut dalam menjalankan operasi kerana kerumitan banjir bandar.

“Malah, pengurusan banjir di Selangor tidak menunjukkan sebarang perubahan yang jelas pada hari kedua dan ketiga (banjir) sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati mangsa,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata beliau telah bergegas ke Pusat Kawalan Bencana Negara pada malam 18 Disember untuk maklumat lanjut mengenai situasi di lapangan.

Beliau kemudian memutuskan untuk mengaktifkan talian pusat kawalan tersebut untuk aduan dan pertanyaan mengenai banjir.

Perdana Menteri berkata, beliau turut menghubungi ketua-ketua Angkatan Tentera dan agensi berkaitan lain untuk menggerakkan anggota dan aset bagi operasi menyelamat.

“Banjir ini melebihi kemampuan Jabatan Bencana Selangor untuk bertindak balas. Negeri ini juga jarang menghadapi banjir luar biasa seperti ini,” katanya. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain