suria

URUS bolehkan peminjam mohon tangguh bayar pinjaman, kurangkan ansuran sehingga 2 tahun... 3 bulan pengecualian faedah

Di bawah program Urus, pemohon boleh mohon moratorium pinjaman untuk tempoh sehingga dua tahun, kata PM.

PEMINJAM institusi kewangan dari golongan B50 yang terjejas akibat pandemik Covid-19 boleh memohon penangguhan bayaran pinjaman atau memohon pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga dua tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, manfaat di bawah Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) itu juga membolehkan peminjam untuk mendapat pengecualian faedah pinjaman untuk tempoh tiga bulan.

Menurut beliau, mana-mana peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon kemudahan di bawah URUS boleh berhubung dengan bank masing-masing sebelum 31 Januari 2022.

Beliau berkata, antara manfaat lain di bawah program itu sebagaimana diumumkan pada 13 Oktober lalu ialah sokongan pembangunan, pendidikan dan khidmat nasihat untuk membantu mengurus kewangan agar lebih berdaya tahan termasuk peluang menambah pendapatan dan mendapat sokongan lain.

“Peminjam juga akan diberikan bantuan secara menyeluruh termasuk pelan kewangan peribadi yang disesuaikan berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing, mengambil kira semua jenis pinjaman dengan institusi perbankan di bawah nama mereka.

“Ini bagi memastikan bantuan jangka panjang yang lebih bermakna kepada peminjam yang memerlukan untuk memulihkan keadaan kewangan mereka sejajar dengan pemulihan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mengambil maklum bahawa sektor perbankan telah melaksanakan URUS secara telus dan adil bagi membantu peminjam B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah sehingga RM5,880 serta kehilangan pekerjaan atau kehilangan pendapatan melebihi 50 peratus daripada pendapatan isi rumah akibat pandemik.

Kata beliau, syarat-syarat lain adalah pinjaman atau pembiayaan telah pun berada di bawah program bantuan bayaran balik sedia ada pada 30 September lalu dan peminjam mempunyai rekod pinjaman berbayar.

Beliau menjelaskan, selain program URUS, peminjam masih boleh mendapatkan bantuan lain daripada bank masing-masing yang sesuai dengan keperluan dan keadaan kewangan mereka.

Selain itu, kata perdana menteri, bagi pengusaha mikro pula, RM1.8 bilion telah diperuntukkan melalui Tekun Nasional, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank yang memberi pembiayaan pada kadar kosong peratus selama sekurang kurangnya enam bulan; bagi saiz pinjaman sehingga RM75,000; dan moratorium segera di antara 6 hingga 12 bulan, tertakluk kepada terma dan syarat

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bank-bank diminta supaya terus membantu peminjam-peminjam yang menghadapi kesulitan kewangan untuk membayar semua pinjaman mereka dan menangguhkan tindakan undang-undang terhadap peminjam yang gagal membayar balik hutang.

Katanya, peminjam yang masih memerlukan bantuan disarankan untuk segera menghubungi bank masing-masing bagi membincangkan pilihan penstrukturan dan penjadualan semula yang bersesuaian.

Beliau berkata, walaupun kadar muflis telah berkurangan sebanyak 50 peratus selepas sektor ekonomi mula dibuka secara berperingkat sejak Oktober lalu, namun ekonomi Malaysia akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.

“Sehubungan itu, peminjam yang baharu atau masih sukar mendapat pekerjaan, terutamanya golongan B50, wajar disokong sebaik mungkin sehingga mereka mampu berdiri teguh semula bagi memastikan kelangsungan hidup.

“Dalam masa sama, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia juga meningkatkan nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000 untuk memberi perlindungan kepada mereka yang mungkin masih tidak dapat bertahan dari segi kewangan akibat kesan pandemik.

“Peruntukan ini dibuat berdasarkan Akta Insolvensi (1967), dan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (2020),” katanya.

Dalam pada itu perdana menteri berkata, kerajaan mengambil maklum bahawa masih ramai rakyat, terutamanya di dalam golongan B40, yang masih memerlukan sokongan sebagaimana di bawah Bajet 2022 merangkumi peruntukan sebanyak RM8.2 bilion bagi Bantuan Keluarga Malaysia; RM2.4 bilion bagi bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat; RM450 juta bagi bantuan awal persekolahan; RM400 juta bagi rancangan makanan tambahan termasuk bekalan susu harian bagi anak-anak miskin; RM450 juta untuk inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia; dan RM4.8 bilion bagi program JaminKerja dan Latihan MySTEP bagi menyediakan 600,000 peluang pekerjaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain