suria

Tragis! Lapan kanak-kanak antara 10 maut dalam kemalangan babitkan treler, tiga kereta

Kemalangan maut di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite mengorbankan 10 nyawa. Foto: Sinar Harian

DALAM satu tragedi menyayat hati yang berlaku Jumaat malam, 10 maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam.

Menurut Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, mangsa yang maut terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing satu lelaki serta perempuan dewasa.

Norazam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.42 malam.

"Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta dengan bantuan enam anggota dari BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Seramai 17 mangsa terbabit dalam kemalangan ini membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memberitahu, seorang lelaki dewasa maut membabitkan sebuah Proton Wira, manakala sembilan maut terdiri daripada seorang perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan yang menaiki sebuah lagi Proton Wira.

"Seorang lelaki yang menaiki Perodua Axia patah kaki dan perempuan dewasa yang menaiki kenderaan sama cedera ringan sementara seorang pemandu treler dan dua kanak-kanak di dalam kenderaan itu terselamat," katanya.

Jelas beliau, anggota bertugas bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alatan khas dan dibantu sebuah kren bagi mengangkat lori treler.

"Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi keseluruhan tamat pada jam 2.40 pagi Sabtu," katanya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain