suria

Polis cekup dua individu beli kucing Parsi guna duit palsu

Dua ekor kucing Parsi yang 'dijual' dengan harga RM2,600.

POLIS menahan dua individu kerana didakwa menggunakan wang palsu untuk membeli sepasang kucing Parsi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superitendan Arshad Abu berkata kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah di Simpang Pulai, Ipoh selepas membeli dua ekor kucing itu daripada seorang pesara guru berusia 56 tahun pada 11 Disember di Plaza Tol Ayer Keroh.

"Pesara guru dari Bukit Beruang itu membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah kerana penjualan itu berlaku di plaza tol yang terletak di bawah bidang kuasa kami," katanya pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Disuruh bayar dah bayar, tapi kucing tak muncul-muncul juga!

Arshad berkata, mangsa berkenaan ditawarkan RM2,600 untuk dua kucing peliharaannya dan suspek berjanji akan membayarnya secara tunai.

Mangsa mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila wang yang dibayar tidak diterima oleh seorang penjual haiwan peliharaan di Skudai, Johor pada 12 Disember lalu.

Tambah Arshad, mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan menyerahkan wang palsu itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

Pihaknya kemudian dapat mengesan suspek iaitu lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 24 tahun di sebuah rumah di Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Ipoh.

"Mereka tinggal bersama dan kami masih dalam usaha untuk memastikan hubungan antara mereka berdua. Kedua-dua mereka didapati positif dadah semasa ujian saringan," kata Arshad.

Tambahnya, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah, dan berkata siasatan awal menunjukkan mereka menggunakan wang kertas palsu untuk membeli-belah dan transaksi lain.

Supt Arshad berkata, kedua-duanya direman sehingga 20 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Beliau berkata polis turut merampas dua ekor kucing, sebuah kereta dan mesin pencetak daripada suspek.

"Kami masih menyiasat sama ada suspek yang mencetak wang palsu itu atau ada sindiket di belakangnya, dan kami berterima kasih kepada penjual kucing itu kerana bekerjasama rapat dengan polis,"katanya lagi. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

kucing Parsi, pesara guru, duit palsu

Artikel Lain