suria

Perancangan cukai agresif... segala-galanya bermula dengan niat melepaskan diri

Perubahan persepsi beransur: Usaha yang berterusan untuk menangani masalah perancangan cukai agresif harus dilakukan melalui pendidikan cukai. Foto: AZHAR MAHFOF/The Star.

SEBUT sahaja mengenai perancangan cukai pasti ramai berpersepsi ia menyerupai beberapa aspek perancangan lain seperti di sektor korporat, kewangan, keluarga mahupun ekonomi.

Bagaimanapun, pengertian perancangan cukai ini amat berbeza dengan perancangan yang lain kerana ia mudah disalahgunakan.

Menurut Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), amalan perancangan cukai ini boleh mengakibatkan kerugian besar terhadap hasil kutipan cukai kepada kerajaan.

Perancangan cukai agresif disebut sebagai 'pelarian dengan sengaja' dalam Seksyen 114 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ia ditakrifkan sebagai tindakan sengaja dengan niat melarikan atau membantu mana-mana individu melarikan cukai dengan tidak melaporkan pendapatan sepatutnya; membuat kenyataan palsu atau catatan palsu dalam sesuatu penyata; memberi jawapan palsu; menyediakan atau menyimpan buku akaun atau rekod lain yang palsu; memalsukan buku akaun atau rekod lain; menggunakan atau membenarkan penggunaan sebarang penipuan, muslihat atau helah.

Dr Barjoyai menjelaskan, pelarian cukai berlaku apabila pembayar cukai melarikan diri daripada pihak berkuasa cukai untuk membayar cukai, dengan menyembunyikan transaksi kewangan mereka yang sebenar kepada pihak berkuasa cukai, tidak melaporkan pendapatan, tidak merekodkan transaksi tunai atau menggunakan kaedah lain tanpa resit, menyembunyikan wang, saham, atau aset lain dalam akaun bank luar pesisir, memalsukan perbelanjaan peribadi sebagai perbelanjaan perniagaan yang boleh ditolak cukai atau menggunakan harta syarikat untuk kegunaan peribadi tanpa alasan perniagaan yang sah.

Pengelakan cukai yang sah

Walaupun ada peruntukan pengelakan cukai yang sah tetapi ia membuka kepada sebarang kemungkinan perancangan dalam bentuk skim pengelakan cukai seperti dalam kes Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) lawan Rakyat Berjaya Sdn Bhd pada tahun 1999 di mana Hakim Mahkamah Persekutuan menjelaskan: “Setiap orang berusaha sebaik mungkin untuk membayar cukai sekecil yang mungkin berasaskan undang-undang. Semua jenis skim yang difikirkan”.

“Tiada individu komersial dengan logik akalnya akan melakukan transaksi komersial tanpa membayar cukai walaupun paling sedikit. Tidak menjadi kesalahan bagi syarikat untuk mengatur urusan mereka sehingga dapat meminimumkan cukai.”

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

”Oleh itu, pengelakan cukai dianggap sebagai kaedah undang-undang untuk meminimumkan jumlah cukai pendapatan yang harus dibayar oleh individu atau sektor perniagaan, ” kata Dr Barjoyai.

Memerangi perancangan cukai agresif: Pihak berkuasa cukai memulakan program audit agresif, penyiasatan dan pengauditan forensik.

Namun, beliau menegaskan, pengelakan cukai adalah satu istilah yang boleh disalahguna dengan mudah melalui aktiviti pengelakan melampau yang disebut sebagai perancangan cukai agresif.

Ia ditakrifkan sebagai aktiviti secara aktif melampaui batasan dari segi undang-undang, memperluas istilah definisi dalam perundangan untuk mengakses lompang peraturan cukai atau mengatur sehingga ia menjadi sesuatu yang lain atau merangka urusan kewangan sehingga dapat meminimumkan cukai.

Beliau menambah “Ini biasanya dilakukan dalam tiga kaedah asas iaitu mengurangkan pendapatan bercukai, meningkatkan potongan dan memanfaatkan kredit cukai.”

Anti Pengelakan Cukai

Berdasarkan kes-kes pengauditan yang dijalankan oleh LHDNM terdapat pelbagai aktitiviti yang boleh didefinisikan sebagai pengelakan cukai. Oleh itu, kerajaan meminda Akta Cukai Pendapatan 1967 dan menambahkan seksyen 140 - 'anti pengelakan cukai’ yang memberi ‘kuasa untuk mengabaikan transaksi tertentu' terpakai di mana Ketua Pengarah mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa sebarang urus niaga yang mempunyai kesan langsung atau tidak langsung untuk mengubah cukai yang perlu dibayar oleh mana-mana individu; membebaskan mana-mana individu dari sebarang liabiliti; menghindari atau mengelak daripada sebarang kewajipan atau liabiliti yang dikenakan; atau menghalang pengoperasian Akta ini dalam apa juga aspek.

Dr Barjoyai menjelaskan bahawa kes terkemuka Berjaya Sabah (1999), menguasai seksyen tersebut ketika Pesuruhjaya Khas menggunakan ujian Substance over the Form (Ramsay Doctrine) untuk menilai keseluruhan transaksi, di mana syarikat induk dan anak syarikat dianggap sebagai satu entiti yang sama).

Walaupun begitu, Hakim Mahkamah Rayuan menggunakan Westminster doctrine - of form over substance (dengan menilai setiap entiti sebagai 'individu' berbeza tanpa mengambil kira hubungan yang wujud di antara mereka) dan membuat kesimpulan bahawa syarikat itu sebenarnya menanggung perbelanjaan dan kerugian dengan memberikan sumbangan kepada syarikat induk dan bukannya membayar dividen.

“Ini dilihat sebagai ‘skim mitigasi’ dan bukannya ‘skim pengelakan cukai’, ” katanya.

Hakim tersebut memutuskan bahawa seksyen 140 hanya merangkumi skim pengelakan dan pelarian cukai sahaja manakala mitigasi cukai tidak termaktub dalam peruntukan seksyen tersebut.

Aspek pembangunan bangsa: Dr Barjoyai menegaskan pendidikan percukaian penting bagi memupuk kesedaran masyarakat untuk melihat cukai sebagai sumbangan ke arah pembangunan dan masa depan negara.

Jelas beliau lagi, “Mahkamah secara khusus mengetengahkan istilah mitigasi cukai di mana faedah cukai hanya diperoleh apabila pembayar cukai dapat mengurangi liabiliti cukai setelah perbelanjaan dilakukan dan wujudnya kerugian tertentu.”

‘Manakala pengelakan cukai, manfaat yang diperoleh apabila pembayar cukai mengurangkan tanggungan cukai tanpa melibatkan perbelanjaan atau kerugian. Ini boleh digunakan sebagai garis panduan untuk menghadkan perancangan cukai agresif pada masa akan datang”

Justeru, dilema tetap ada: Bagaimana kita dapat memberi gambaran tepat apa sebenarnya perancangan cukai agresif?

Menurut Dr Barjoyai, perancangan cukai agresif adalah amalan untuk meningkatkan atau mempercepat pelepasan cukai dengan mengeksploitasi kelemahan undang- undang.

Amalan ini dipraktikkan dalam bentuk menghasilkan kerugian yang sengaja direka, memindahkan keuntungan antara anak syarikat dalam bidang kuasa yang berbeza untuk mencatatkan keuntungan dengan bidang kuasa cukai rendah, memindahkan aset (seperti harta intelek) dari anak syarikat dengan bidang kuasa cukai tinggi kepada syarikat dengan bidang kuasa cukai rendah, menggunakan syarikat perniagaan palsu yang berfungsi sebagai alat untuk aliran transaksi, atau ditubuhkan untuk tujuan perakaunan, meminjamkan wang dari rejim cukai rendah kepada anak syarikat dalam rejim cukai tinggi dan pembayaran hutang serta perbelanjaan faedah yang diimbangi cukai korporat dalam rejim cukai tinggi untuk mengurangkan pembayaran cukai.

“Banyak aspek perancangan cukai agresif bermula dengan niat untuk melepaskan diri dari membayar cukai, ” katanya.

Ubah persepsi

Apa yang jelas status quo tidak dapat diteruskan, terutamanya ramalan dari Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bahawa akan ada perancangan cukai agresif yang lebih meluas dalam masa terdekat yang melibatkan Penghakisan Asas Cukai dan Pemindahan Keuntungan (BEPS), earnings stripping rules (peraturan pelucutan perolehan), percukaian untuk e-Dagang, mata wang kripto, gangguan teknologi dan digital lain yang membentuk semula model perniagaan dan seterusnya lanskap percukaian.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDNM, Datuk Seri Dr Sabin Samitah dalam persidangan percukaian kebangsaan menegaskan bahawa pihak berkuasa cukai itu sedang meneliti perkara tersebut.

Tindakan tegas: Sabin menegaskan LHDNM sedang meneliti amalan perancangan cukai agresif dengan memulakan tindakan dalaman dan luaran selain bekerjasama dengan badan antarabangsa terkemuka.

“Kami menangani isu perancangan cukai agresif dengan memulakan program audit agresif, penyiasatan dan pengauditan forensik.

“Juga bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa terkemuka yang lain seperti OECD dalam mencari kaedah terbaik atau yang bersesuaian untuk menangani isu berkaitan ekonomi digital, ekonomi perkongsian, mata wang kripto, teknologi yang digunakan untuk menyerahkan barang dan perkhidmatan di pelbagai platform serta penyimpanan dokumen perniagaan menggunakan teknologi cloud," katanya.

Tegas beliau lagi, mengeluarkan prosedur cukai khusus bagi menangani masalah yang timbul daripada perancangan cukai agresif juga boleh mewujudkan beberapa peraturan jelas mengenai had aktiviti perancangan cukai.

Malah Sabin turut memberitahu lebih banyak melestarikan usaha untuk menangani masalah perancangan cukai agresif harus dilakukan.

Antaranya kata beliau, menerusi pendidikan percukaian bagi memupuk budaya menganggap cukai bukan sebagai perbelanjaan tetapi sumbangan demi pembangunan negara bagi memastikan perkembangan dan kelangsungan hidup pembayar cukai pada masa depan.

“Membayar cukai sepatutnya dilihat sebagai kaedah dalam mewujudkan dan mengekalkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk beroperasi dan menjana keuntungan pada masa depan.”

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain