suria

Pandemik Covid-19 belum reda, rakyat wajib patuh SOP jarak saf solat

Rakyat Malaysia wajib mematuhi SOP ditetapkan kerajaan berhubung penjarakan saf solat ketika pandemik Covid-19 masih belum reda. Gambar hiasan

SEBAGAIMANA yang semua sedia maklum, kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti dan lokasi untuk membendung penularan virus Covid-19.

Tambahan pula ketika ini penularan virus berkenaan masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda untuk reda.

Namun begitu, ada segelintir pihak membangkitkan kewajaran sesetengah SOP, seperti penjarakkan saf ketika solat.

ARTIKEL BERKAITAN: 14 intipati PKP, PKPB dan PKPP yang perlu anda tahu

Bercakap mengenai perkara tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menegaskan rakyat Malaysia wajib mematuhi SOP ditetapkan kerajaan berhubung penjarakan saf solat ketika pandemik Covid-19 masih belum reda.

Ujarnya, kerajaan telah mengambil kira pelbagai pertimbangan terbaik sebelum sesuatu SOP itu dilaksanakan di negara ini.

Menurutnya, dalam isu penjarakan bagi saf solat yang diperdebatkan dua ahli panel menerusi media sosial, itu adalah sesuatu yang baik untuk mencerakinkan isu agama.

Namun tegasnya, dalam konteks di Malaysia, rakyat wajib patuh terhadap ketetapan SOP pemerintah.

"Bukan kita mahu persoalkan siapa yang memberikan pandangan dan pendirian tetapi apabila kerajaan telah membuat satu keputusan, maka menjadi kewajipan kepada rakyat untuk ikut," katanya.

Ahmad Marzuk berkata demikian mengulas diskusi ilmiah antara dua penceramah bebas, Syeikh Mohib Khouli dan Dr Rozaimi Ramle mengupas isu 'Jarak Saf Dalam Mendepani Covid-19: Tuntutan Agama atau Pandangan Songsang?' baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, meskipun terdapat pelbagai pandangan dalam isu berkenaan tetapi lebih mengharmonikan sekiranya rakyat patuh dengan SOP ditetapkan.

"Bayangkan kalau semua orang nak pakai pandangan masing-masing, saya rasa akan banyaklah corak dan cara solat di masjid," katanya.

Menurutnya, biarpun terdapat pelbagai pendidikan dihujahkan ahli panel dalam pelbagai isu tetapi rakyat perlu mengambilnya dari sudut positif. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain