suria

Buang saka dalam sungai... JPJ Kelantan pantas bertindak, pemilik kereta berdepan hukuman denda atau penjara

JPJ menggesa agar masyarakat tidak melakukan perbuatan sebegitu yang bukan sahaja mencemarkan alam sekitra, malah turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

MEDIA sosial gempar apabila video memaparkan seorang wanita membuang bungkusan plastik ke dalam sungai daripada kenderaannya ketika berhenti di atas sebuah jambatan di Kelantan tular pada Selasa.

Malah, pelbagai kata-kata kecaman dilemparkan kepada pemilik kenderaan itu sehingga timbul pula satu kisah lain yang dikaitkan dengan saka.

ARTIKEL BERKAITAN: Jenuh kena hentam akhirnya keluarga wanita di jambatan tampil... bukan sampah tapi saka! - “Nak buang ada cara, bukan main lempar”

Menerusi penjelasan di media sosial, mereka mendakwa baru sahaja pulang menjalani rawatan tradisional di Kuala Krai dan diminta membuang barang saka ke dalam sungai.

Pada Rabu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan memaklumkan mereka telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan itu.

Menurut JPJ, mereka telah mengeluarkan satu notis temu siasat di bawah seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan itu.

"Membuang sampah daripada kenderaan bermotor adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah kaedah 52 kaedah-kaedah lalu lintas jalan 1959.

"Jika disabitkan kesalahan, hukuman boleh dikenakan terhadap pelaku di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

"Jika sabitan kesalahan kedua, didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjara tidak melebihi dua bulan penjara atau kedua-duanya," ujar kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, JPJ turut menggesa agar masyarakat tidak melakukan perbuatan sebegitu yang bukan sahaja mencemarkan alam sekitra, malah turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Terdahulu, video berdurasi 20 saat itu meraih perhatian ramai sehingga mereka menerima pelbagai kecaman di media sosial.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain