suria

Permohonan mulai 5 Januari, PTPTN laksana pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman

Mereka perlu mengemukakan permohonan tersebut melalui portal rasmi PTPTN bermula pada 5 Januari hingga 31 Mac 2021.

IMPAK pandemik Covid-19 sememangnya dirasai semua lapisan masyarakat di negara ini.

Antara yang turut terkesan tentunya lepasan universiti yang masih mempunyai baki pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Terbaharu, PTPTN menjelaskan bahawa pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman diberi keutamaan kepada peminjam yang diberhentikan kerja dan pendapatan berkurangan.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, peminjam perlu mengemukakan permohonan tersebut melalui portal rasmi PTPTN bermula pada 5 Januari hingga 31 Mac 2021.

“Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa membuat permohonan, ” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh tiga bulan akan bermula pada bulan yang sama.

Katanya, ia berdasarkan kelulusan permohonan yang diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan antara Januari hingga Mei 2021.

“Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada mereka melalui e-mel yang dikemukakan dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

“Mereka juga perlu mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat berkenaan kelulusan permohonan pelanjutan dapat disampaikan kepada mereka. Mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran balik pinjaman melalui saluran yang disediakan, ” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelanjutan tempoh tersebut menunjukkan kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi oleh peminjam PTPTN.

“Diharapkan inisiatif ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam yang terkesan akibat pandemik (Covid-19) yang melanda, ” katanya. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain