suria

Wanita disyaki pukul kucing bunting hingga mati direman 4 hari

Seorang wanita direman selama empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Foto: Sinar Harian

SEORANG wanita yang disyaki memukul seekor kucing bunting sehingga mati pada Selasa lalu, kini direman selama empat hari.

Perintah reman itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin pada Khamis, bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Wanita berusia 51 tahun itu ditahan petang Rabu dan akan disiasat mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

ARTIKEL BERKAITAN: Letak tiga kucing dalam mesin basuh, penganggur didakwa

Dia melakukan perbuatan kejam itu kerana haiwan berkenaan membuang najis di hadapan rumahnya di sebuah flat di Pintas Kalui 1, Bukit Mertajam, petang Selasa.

Dalam kejadian jam 1.20 petang itu, wanita berkenaan dilihat memukul dua ekor kucing yang berada berhampiran rumahnya dengan sebatang besi hingga menyebabkan seekor lagi cedera di bahagian mulut.

Tindakan wanita itu disedari penduduk yang kebetulan sedang berehat di sebuah pondok berhampiran tempat kejadian dan kemudian menghubungi JPV bagi melaporkan perkara berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat JPV, Azhar Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati dua kucing itu adalah kucing terbiar dan berkeliaran di kawasan berkenaan.

"Bangkai kucing yang mati telah dihantar ke makmal veterinar untuk proses bedah siasat.

"Seekor lagi kucing yang cedera kini masih menerima rawatan berikutan mukanya bengkak dan mengalami kesukaran untuk makan," katanya.

Menurutnya, pihaknya ke tempat kejadian selepas menerima laporan dan merampas pakaian serta besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain