suria

Covid-19: Penularan tempatan rekod 649 kes baharu, 106 di ICU... 5 lagi kluster dikesan

Malaysia merekodkan 649 kes baharu positif Covid-19 pada Khamis. Foto: Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 649 kes baharu, menjadikan keseluruhan 30,090 kes setakat Khamis.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 10,087 kes di mana pesakit diasingkan dan diberi rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 649 kes baharu yang dilaporkan melibatkan tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara masing-masing dua warganegara dan lima rakyat Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 801 kes baharu Covid-19, lapan lagi kematian

Menurut Dr Noor Hisham, Sabah mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi iaitu sebanyak 352 kes, diikuti Selangor (132), Negeri Sembilan (43), Kedah (37), Kuala Lumpur (21), Labuan (17), Pulau Pinang (13), Johor (10), Sarawak (8), Perak (5), Pahang (1), Melaka (1), Terengganu (1) dan Putrajaya (1).

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 246 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis petang.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 685 kes telah pulih Covid-19 pada Khamis dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 19,757 kes.

"Sehingga kini, terdapat terdapat 106 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 23 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak lima kluster baharu dikesan iaitu Kluster Sakti, Kluster Tuguson, Kluster Bah Medan, Kluster Taman Laut dan Kluster Taman Bunga.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, ICU, kluster

Artikel Lain