Finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020, Cikgu Sam pernah terfikir mahu berhenti jadi pendidik selepas 3 bulan mengajar anak Orang Asli

Finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 Samuel Isaiah, 33, bergambar bersama murid-muridnya yang merupakan anak Orang Asli ketika mengajar di Sekolah Kebangsaan Runchang. Foto: Bernama

FINALIS Anugerah Hadiah Guru Global 2020, Samuel Isaiah pernah berhasrat mahu berhenti daripada menjadi guru hanya tiga bulan selepas memasuki bidang pendidikan.

Guru berusia 33 tahun itu berkata, ketika itu beliau 'merasakan dirinya terlalu bagus' untuk ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Rompin yang merupakan sekolah untuk anak-anak Orang Asli.

Sebagai orang muda yang bercita-cita tinggi, Samuel berkata ia seolah-olah membunuh semangatnya apabila dihantar ke sekolah pedalaman.

"Selama tiga bulan saya cuba menyesuaikan diri, bertanyakan pada diri adakah mengajar Orang Asli boleh membantu melonjakkan karier saya? Sehingga akhirnya saya sedar mereka juga sangat istimewa, jika kita sedia mendengar dan menerima mereka sepenuhnya.

"Dari situ, saya tahu anak murid Orang Asli inilah yang lebih banyak mengajar saya tentang kehidupan daripada saya sebagai seorang guru kepada mereka," katanya.

Anak jati Kuantan itu menambah, tanpa sedar beliau akhirnya berkhidmat di sekolah itu selama lapan tahun bermula dari tahun 2012 sehingga hubungan di bilik darjah 'berkembang' kepada ibu bapa dan penduduk kampung Orang Asli di situ.

Samuel atau lebih dikenali sebagai Cikgu Sam terpaksa berpisah dengan anak muridnya pada tahun 2019 kerana melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana Dasar Pendidikan dan Kepimpinan di State University of New York, Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun disebabkan pandemik Covid-19, Samuel kembali ke Malaysia pada pertengahan Jun lepas dan kini meneruskan pengajian secara dalam talian, dan dijangka akan kembali ke universiti sekitar Januari tahun depan bagi menghabiskan semester akhir.

Sepanjang berada di AS, Samuel berhubung dengan anak muridnya kira-kira dua kali sebulan menerusi panggilan video dengan bantuan rakan pendidik di SK Runchang.



Kejayaan Samuel yang dipilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hubungan erat itu juga mendorong Samuel 'kembali' ke kampung itu dua kali seminggu, biasanya pada Isnin dan Jumaat untuk membantu anak muridnya yang agak ketinggalan disebabkan wabak Covid-19 dengan memberikan kelas tambahan selepas waktu persekolahan.

Niat beliau untuk membuat kejutan pada hari pertama kembali ke kampung itu pada pertengahan Ogos lepas tidak berjaya, apabila kereta yang dipandunya dikenali penduduk sekitar menyebabkan dia dikerumuni penduduk dan anak muridnya dalam masa singkat.

Mengulas mengenai kejayaannya tersenarai sebagai 10 finalis daripada lebih 12,000 guru di seluruh dunia, Samuel menyifatkan penghormatan itu adalah untuk anak muridnya dan ibu bapa mereka yang kerap menyokongnya walaupun semasa beliau melakukan perkara baharu seperti menggunakan ukulele dalam kelas.

"Mereka membuka mata saya dalam bidang pendidikan dan lebih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membantu Orang Asli dalam pendidikan. Berada dalam senarai 10 terbaik ini adalah pengiktirafan kepada mereka yang membolehkan seorang guru pedalaman seperti saya dikenali di peringkat antarabangsa," katanya.

Walaupun menyedari dirinya berdepan laluan sengit dengan kehebatan finalis lain, Samuel berkata beliau berhasrat menubuhkan sebuah yayasan khusus untuk meningkatkan aspek sosial Orang Asli termasuk aspek pendidikan, jika menerima anugerah yang menawarkan hadiah AS$1 juta (RM4.16 juta) itu.

Sementara itu kejayaan Samuel yang dipilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka menzahirkan ucapan tahniah serta sukacita dan bangga atas dedikasi serta usaha murni guru muda itu dalam mendidik murid-murid sehingga terpilih sebagai calon untuk menerima anugerah tersebut, sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga pencapaian hebat dan komitmen Samuel, menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para guru untuk memberi yang terbaik dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia.

"Seri Paduka Baginda turut mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan mendoakan semoga beliau memenangi anugerah tersebut serta dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dalam bidang pendidikan," katanya menerusi kenyataan Istana Negara, pada Khamis. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain