Dr Noor Hisham mengaku alami kelesuan akibat pandemik Covid-19 - “Kadang-kadang malam pun tak boleh tidur”

Dr Noor Hisham pada sidang media harian.

PANDEMIK Covid-19 sejak awal tahun ternyata memberi kesan kepada semua pihak termasuklah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sendiri.

Dr Noor Hisham mendedahkan beliau turut mengalami kelesuan akibat tekanan tugas melawan pandemik Covid-19 sehingga sukar untuk tidur.

Beliau berkata, kelesuan dari segi mental dan fizikal bukan hanya dialami oleh petugas di lapangan, malah di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mungkin ada yang terkesan iaitu tekanan yang tinggi dan sebagainya, termasuk ketua pengarah kesihatan juga (hadapi) tekanan yang amat tinggi.

"Kadang-kadang, malam pun tak boleh tidur sebab pelbagai aktiviti yang kita kena fikirkan, bagaimana kita boleh selesaikan masalah ini," katanya pada sidang media, petang Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan portal mengenai terdapat doktor yang bertugas di hospital di Sabah terpaksa mengambil pil tidur selepas mengalami tekanan mental akibat kerja berlebihan.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata, keadaan tersebut masih terkawal.

"Setakat ini, alhamdulillah kita masih boleh bertahan," katanya.

Menurut beliau, biarpun diberi waktu untuk berehat, namun tanggungjawab terhadap tugas memaksanya untuk terus bekerja.

"Kadang-kadang bangun pukul 3 atau 4 pagi untuk fikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, apa yang berlaku adalah cabaran kepada semua barisan petugas hadapan.

"Jadi, setiap lapisan warga kerja KKM menjalankan tugasan dengan sebaik mungkin," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain