suria

Berita baik! Syarikat penerbangan setuju jadual semula penerbangan pelajar IPT

Syarikat penerbangan bersetuju menjadualkan semula penerbangan pelajar IPT sehingga 31 Disember 2020. Gambar hiasan/Foto Bernama

CADANGAN supaya semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini, menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan para pelajar.

Bagaimanapun, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah berunding dengan syarikat penerbangan bagi memohon pertimbangan penjadualan semula penerbangan pelajar pulang ke kampus khususnya bagi mereka yang telah membeli tiket penerbangan ke IPT masing-masing.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, KPT memaklumkan bahawa syarikat penerbangan bersetuju menjadualkan semula penerbangan pelajar IPT sehingga 31 Disember 2020.

"KPT prihatin dengan pandangan pelbagai pihak serta kebimbangan yang disuarakan pelajar, ibu bapa dan masyarakat berikutan peningkatan kes Covid-19 yang berlaku hanya selang beberapa hari sahaja dari tarikh kemasukan pelajar baharu ke universiti.

"Justeru, KPT mengambil langkah proaktif berunding dengan syarikat penerbangan," menurut kementerian itu.

Pada 27 September lepas, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dilaporkan sebagai mencadangkan IPT menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka.

Noraini mahu proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit dilakukan secara dalam talian.

Mengulas lanjut perkembangan itu, KPT pada masa sama mengalu-alukan keprihatinan dan kepekaan semua pihak dalam menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan pelajar terbabit.

Mengenai pelajar IPT yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, KPT meminta mereka untuk kekal berada di kampus masing-masing.

"Pihak IPT perlu membantu segala keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar ini," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPT mencadangkan agar pihak pengurusan IPT menangguhkan semua program atau aktiviti yang melibatkan himpunan di dalam kampus. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain