Padah cederakan anggota polis, ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ ditahan

Dua daripada empat lelaki yang ditahan itu mengaku berstatus 'Datuk' dan 'Datuk Seri' dalam kejadian awal pagi Rabu.

EMPAT lelaki termasuk dua individu yang berstatus 'Datuk dan Datuk Seri' dipercayai terbabit dalam insiden mencederakan seorang anggota polis di sebuah kafe di Banda Hilir, di sini awal pagi Rabu.

Dalam kejadian lebih kurang pukul 2.50 pagi, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah melakukan pemeriksaan ke atas premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, premis berkenaan beroperasi melebihi jam 2 pagi, selain beberapa pelanggan dilihat berada di dalam dan luar premis.

Menurutnya, seorang anggota polis dilaporkan cedera kerana bergelut semasa melakukan tangkapan dalam pemeriksaan tersebut.

Katanya, empat lelaki berusia 27 hingga 41 tahun ditahan malah dua daripadanya membuat pengakuan mereka bergelar Datuk dan Datuk Seri.

"Keempat- empat lelaki terbabit dikenakan kompaun di bawah Peraturan 3 Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) (NO 8) 2020.

"Selain itu, 12 pelanggan termasuk penjaga premis dikenakan kompaun di bawah kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Tambahnya, kesemua mereka direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Katanya, premis yang mempunyai lesen perniagaan sah dari pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah melakukan kesalahan beroperasi lebih masa.- SinarHarian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banda Melaka, Datuk, Afzanizar, polis, Melaka

Artikel Berkaitan

Artikel Lain