suria

Dr Noor Hisham akui bimbang pintu sempadan negara dibuka, masih bincang SOP

Perkara itu masih di fasa awal perbincangan dan kerajaan belum menetapkan tarikh khusus untuk pelaksanaan tersebut.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengakui wujud kebimbangan sekiranya sempadan negara dibuka tidak lama lagi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kejayaan negara meratakan lengkung jangkitan Covid-19 disebabkan kawalan ketat terhadap pintu sempadan negara.

"Kebimbangan wujud untuk membuka pintu sempadan kita. Tentunya salah satu kisah kejayaan kita menurunkan lengkungan jangkitan dan mengurangkan kes disebabkan kawalan sempadan yang ketat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes positif Covid-19 di Malaysia kekal satu angka, terbaharu catat 6 kes

"Jadi sekarang kita perlu berbincang dengan negara. Perbincangan sudah bermula tetapi belum ada pelaksanaan lagi. Kami masih berbincang untuk mencari persefahaman dalam prosedur operasi standard (SOP)," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Jumaat petang.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan masih belum memutuskan sebarang tarikh untuk pembukaan pintu sempadan negara buat masa ini.

"Apa yang penting kita pantau situasi dalam negara dan negara terlibat. Saya fikir terdapat isu yang perlu dibincangkan secara terperinci.

"Buat masa ini kita masih di peringkat awal perbincangan dan masih belum ada tarikh untuk pelaksanaan itu," ujarnya ringkas.

Terdahulu Dr Noor Hisham berkata pintu kawalan sempadan hanya dapat dibuka sekiranya fasa pemulihan Covid-19 selepas pembukaan beberapa sektor dalam negara berada dalam keadaan terkawal.

Katanya, pihaknya mempunyai tempoh sehingga 31 Ogos melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk melakukan pemantauan dan kawalan selepas pembukaan beberapa sektor dalam negara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain