suria

Boleh buat ibadah korban di lokasi lain jika surau sempit, tapi perlu buat permohonan - Ismail Sabri

Kerajaan membenarkan ibadah korban dilaksanakan di lokasi lain selain lokasi ditetapkan sebelum ini, dengan syarat ia mesti mendapat kelulusan pejabat agama daerah.

KERAJAAN membenarkan umat Islam di negara ini melaksanakan ibadah korban di lokasi tertentu selain daripada lokasi yang ditetapkan sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun pihak berkenaan perlu terlebih dahulu membuat permohonan kepada pejabat agama daerah bagi tujuan mendapatkan kebenaran dan kelulusan.

ARTIKEL BERKAITAN: SOP ibadah korban beri tumpuan jumlah kehadiran, kesihatan haiwan

"Kalau mereka tak nak buat di masjid atau surau di kampung, dan kawasan di surau terlalu kecil di mana mereka nak mencadangkan satu tempat yang luas, jadi mereka perlu memohon kepada pejabat agama daerah untuk dapatkan kelulusan dan kebenaran dan boleh guna tempat tersebut.

"Saya percaya di kampung, kawasan suraunya sempit kalau nak buat ibadah korban dalam compound itu. Jadi kita benarkan tetapi hanya di tempat yang diluluskan dan dibenarkan oleh pihak berkuasa agama tempatan," katanya dalam sidang media pada petang Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan oleh pemberita mengenai kesulitan yang disuarakan oleh pihak tertentu apabila terpaksa menunggu giliran jika ibadah korban dilakukan bertumpu di tiga lokasi yang dinyatakan sebelum ini.

Ismail Sabri baru-baru ini memaklumkan ibadah korban sempena Aidiladha dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan di mana ia hanya boleh diadakan di masjid, surau dan kawasan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan.

Katanya, selain dari tiga lokasi itu, sebanyak 28 rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan 31 rumah sembelihan ruminan swasta yang dilesenkan oleh JPV dibenarkan untuk menjalankan penyembelihan.

Umat Islam dijangka menyambut Aidiladha pada hujung bulan ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain