suria

Sekolah boleh diarah tutup jika ada kes Covid-19

Pelajar tingkatan lima beratur mengikut penjarakan sosial serta memakai topeng penutup mulut dan hidung semasa mendaftar masuk pada hari pertama sesi persekolahan, Rabu. Gambar hiasan/Foto Bernama

TUTUP! Demikian arahan yang boleh dikeluarkan kepada sekolah yang merekodkan kes positif Covid-19 dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Azmi Ghazali pada Rabu.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan penularan wabak itu dalam komuniti dapat dikawal.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah kembali dibuka hari ini

ARTIKEL BERKAITAN: 24 Jun sekolah dibuka semula, hanya pelajar duduki SPM, STPM, SVM, STAM dan peperiksaan antarabangsa setara

"Kalau ada kes positif, kita akan bawa pesakit ke hospital untuk rawatan dan kontak rapat juga akan disaring sama ada di sekolah atau rumah. Saya percaya kalau berlaku di sekolah, ia akan ditutup buat sementara waktu," katanya.

Azmi berkata demikian kepada media selepas meluangkan masa hampir sejam bagi meninjau perjalanan dan pematuhan SOP sempena hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (1), di Putrajaya, Rabu.

Sesi persekolahan melibatkan pelajar yang mengambil peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara, dimulakan semula pada Rabu.

Sebelum ini, sesi persekolahan ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Azmi berkata KKM akan menyemak semula SOP yang dipraktikkan sepanjang tiga hari pertama persekolahan yang bermula pada Rabu.

"Jadi Sabtu, Ahad adalah tempoh untuk kita lihat kembali SOP yang digunakan ini ‘okay’ atau tidak ataupun perlu pertingkatkan. Jika semuanya lancar, kementerian akan memutuskan bagaimana pelajar lain boleh kembali ke sekolah," katanya.

Bagi memastikan sekolah mematuhi SOP, beliau berkata KKM bersama Kementerian Pendidikan dan pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan termasuk pemeriksaan mengejut.

Mengenai pelaksanaan SOP di SMK Putrajaya Presint 11 (1) itu, Azmi berkata ia dilaksanakan dengan baik termasuk pengambilan suhu dan sanitasi, laluan jalan, susunan meja dalam kelas, pengendalian waktu rehat dan kaedah prapesanan makanan. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

sekolah, tutup, Covid-19, pelajar, guru, kakitangan,

Artikel Lain