suria

Pasar Jalan Othman di PJ lokasi ke-8 diisytihar PKPD

Pasar Jalan Othman di PJ diletakkan di bawah PKPD sehingga 23 Mei. Foto: Bernama

KAWASAN sekitar Pasar Jalan Othman (PJO) di Petaling Jaya kini diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini (Ahad) hingga 23 Mei depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Selayang Baru diumum lokasi ke-7 PKPD, elak kemasukan Pati... kawalan lorong tikus, sempadan diperketat

"Kementerian Kesihatan telah mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya, Selangor.

"Kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan kelapan PKPD di tiga zon dalam kawasan tersebut mulai hari ini hingga 23 Mei ini," katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau berkata, perintah PKPD itu membabitkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan tiga zon di kawasan berkenaan.

Zon A membabitkan Jalan Penchala, Jalan 4/33, Jalan 4/37, Jalan 4/39, Jalan 4/41, Jalan 4/44, Jalan Terus 4/42, Jalan 4/43, Jalan 4/46 dan Jalan Othman 4/4D Petaling Jaya.

Bagi kawasan Zon B pula, Jalan 2/29, Jalan 2/29A, Jalan 2/27, Jalan 2/32, Jalan 2/25, Jalan 2/26, Jalan 2/34, Jalan 2/34A, Jalan 2/23, Jalan Dispensary 2/38, dan Jalan Pasar 1/21.

Zon C melibatkan Jalan Selangor, Lorong 3/57D, Lorong 3/57C, Jalan RIDA 3/56, dan Jalan Sentosa 3/57 Petaling Jaya.

"Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh PKPD berkuatkuasa.

"Dengan pelaksanaan perintah ini, semua laluan keluar masuk ditutup. Penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan, manakala bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

"Semua aktiviti perniagaan pula dihentikan. Bagaimanapun, kita akan buka Pangkalan Perubatan (Medical Base) di kawasan ini," katanya.

Polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan untuk mengawal seluruh kawasan berkenaan, ujar Ismail.

Dalam masa yang sama, beliau meminta semua penghuni bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan serta mematuhi setiap arahan pihak berkuasa.

Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP Petaling Jaya di talian 016-980 9389 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PKPD, Pasar Jalan Othman, Covid-19, KKM

Artikel Lain