suria

Zon merah Covid-19 kekal 26 daerah, Lembah Pantai hampir cecah 500 kes

Jumlah kes positif di Lembah Pantai sudah mencecah angka ke-500 setakat semalam.

ZON merah Covid-19 kekal 26 daerah dengan Lembah Pantai merekodkan peningkatan jumlah kes positif yang hampir mencecah 500 kes, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan infografik CPRC KKM yang dikongsikan melalui media sosial rasmi KKM hari ini, daerah berkenaan merekodkan 496 kes setakat 12 tengah hari semalam, berbanding 459 kes sehari sebelum itu.

Selain itu, daerah Hulu Langat turut mencatatkan penambahan kes positif iaitu 388 kes berbanding 378 kes, manakala Petaling meningkat daripada 335 kes kepada 356 kes.

Zon merah mewakili jumlah positif Covid-19 melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes.

Negeri Selangor masih mencatatkan bilangan kes positif Covid-19 tertinggi iaitu 1,236 kes manakala kes terendah dengan masing-masing merekodkan satu kes di sembilan daerah iaitu Baling, Padang Terap, Bandar Bahru dan Sik di Kedah; Raub di Pahang; serta Sri Aman, Matu, Mukah, dan Lawas di Sarawak.

Sementara itu, statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ke-34 dalam senarai negara dijangkiti pandemik Covid-19 secara global, dengan 4,683 kes positif dan 76 kematian setakat semalam.




Covid-19, Lembah Pantai, KKM, CPRC

Artikel Lain