suria

Covid-19: ATM tidak terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan

Pengumuman perintah itu tidak akan menjejaskan operasi serta penugasan pegawai dan anggota di sempadan serta perairan negara.

PANGLIMA Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata penugasan untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 tidak melibatkan anggota tentera sebaliknya melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Buat masa ini, PDRM akan menentukan semua (tugas) penguatkuasaan susulan pengumuman perintah itu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Perintah Kawalan Pergerakan, ini 25 sektor perkhidmatan penting negara yang tidak ditutup

Affendi berkata demikian kepada Bernama selepas diminta mengulas adakah anggota ATM terlibat dalam menguatkuasakan perintah yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam Isnin.

Beliau turut menjelaskan yang pengumuman perintah itu tidak akan menjejaskan operasi serta penugasan pegawai dan anggota di sempadan serta perairan negara.

"Operasi di sempadan serta perairan negara akan berjalan seperti biasa namun ATM akan mengurangkan latihan yang tidak mendesak," katanya.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang. fotoBERNAMA.

Muhyiddin pada Isnin mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mencegah penularan baharu wabak Covid-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Perintah kawalan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Peningktan kes Covid-19 meningkat secara mendadak di negara ini iaitu 190 kes baharu dilaporkan semalam dan hari ini sebanyak 125 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhah individu yang dijangkiti setakat 12 tengah hari ini ialah 553 orang.

Seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pulih. - BERNAMA

Artikel Lain