suria

“Jika mereka mahu saya berundur sekarang, saya akan berundur” - Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir sedia berundur pada bila-bila masa sahaja.

"SAYA fikir empat parti dalam PH akan putuskan sama ada mereka mahu saya pergi atau tidak pergi," kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata demikian berhubung kesediaan untuk melepaskan jawatan serta-merta jika diminta berbuat demikian oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, perkara itu perlu diputuskan secara bersama dengan kesemua parti dalam PH.

"Jika mereka mahu saya berundur sekarang, saya akan berundur," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Forum Integriti Bank Rakyat 2020 di ibu negara, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas desakan beberapa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu beliau menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun ini.

Tempoh serahan itu dicadangkan bagi membolehkan Anwar mendapat tempoh yang cukup untuk melaksanakan sebarang perubahan setelah menjadi perdana menteri.

Perkara itu dibangkitkan melalui satu forum bertajuk "Haruskah Malaysia tunggu sehingga November untuk peralihan kuasa?" di Bangsar semalam.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, beliau akan menghormati janjinya untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dijadualkan berlangsung pada November ini.-sinarharian.com.my

Mahathir, PH

Artikel Lain