suria

Jiran durjana! Pakai topeng masuk lif, samun dan tikam mangsa hingga cedera parah

Seorang lelaki tergamak menikam dan menyamun jirannya sendiri yang merupakan seorang wanita muda sebelum bertindak melarikan diri. Gambar sekadar hiasan.

SEORANG lelaki tergamak menikam dan menyamun jirannya sendiri yang merupakan seorang wanita muda sebelum bertindak melarikan diri dalam satu kejadian di sebuah lif di Flat Taman Sri Damai, Jelutong, George Town pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, kejadian kira-kira 11.16 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 20 tahun berseorangan di dalam lif untuk pulang ke rumahnya, sebelum lif tersebut dimasuki seorang lelaki bertopeng.

ARTIKEL BERKAITAN: Jiran-jiran kecoh bunyi ketukan di rumah peguam jam 2.30 pagi, ada yang tuduh hantu - “Sampai sekarang mereka belum tahu lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: Polis berjaya tahan lelaki samun wanita dalam lif MRT

“Sebaik pintu lif ditutup, lelaki itu terus menyerang wanita itu dan menikam di bahagian belakang mangsa bertubi-tubi menggunakan sebilah pisau, sebelum menyamun dompet serta telefon bimbit mangsa dan melarikan diri.

“Wanita yang cedera parah itu kemudiannya mendapatkan bantuan ahli keluarga, sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Katanya mangsa yang tidak bekerja itu kerugian kira-kira RM500 selepas telefon bimbit jenis Huawei 2i dan wang tunai sebanyak RM100 dalam dompetnya disamun suspek, selain kehilangan dokumen pengenalan diri.

Soffian berkata bertindak atas maklumat pihaknya menahan seorang suspek berusia 26 tahun yang juga merupakan jiran mangsa dan selepas diperiksa, lelaki yang tidak bekerja itu di positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Lelaki itu kini direman sehingga 15 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan parah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Soffian berkata wanita itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang namun dilaporkan di dalam keadaan stabil. - BERNAMA

samun, tikam, jiran, lif, topeng

Artikel Lain