suria

Guru ditikam suami selamat bersalin bayi lelaki

Guru yang ditikam suaminya sendiri selamat bersalin anak lelaki.

SEORANG wanita yang hamil 37 minggu yang ditikam suaminya di rumah mereka di Presint 9, Putrajaya pukul kira-kira 9.50 pagi Jumaat, selamat melahirkan bayinya menerusi kaedah pembedahan sebaik tiba di hospital.

Keadaan kedua-dua ibu dan anak itu kini stabil.

Dalam kejadian pada Jumaat, guru berumur 35 tahun itu dikatakan terpaksa memandu sendiri dari rumahnya ke Hospital Putrajaya sejauh kira-kira 3 kilometer selepas ditikam untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata wanita itu mengalami pendarahan di jari kiri, lengan tangan kanan, dua kesan hirisan di perut dan juga luka di belakang kanan badan.

Beliau berkata wanita itu dirujuk ke Jabatan Obstetric dan Ginekologi serta Ortopedik untuk rawatan lanjut selepas mengadu sakit di bahagian perut, dan kemudiannya berjaya melahirkan bayi lelakinya melalui pembedahan.

“Guru wanita itu masih masih dirawat di hospital dan keadaannya stabil,” katanya.

Rosly berkata suami wanita itu yang berumur 39 tahun yang bekerja sebagai jurutera audio ditahan direman sehingga Jumaat ini untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dan polis turut merampas barang kes iaitu sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

Siasatan awal turut mendapati suspek tiada rekod jenayah, katanya. - BERNAMA

tikam, bersalin, mengandung

Artikel Lain