suria

Seramai 382 pekerja kumpulan Utusan fail tuntutan bantuan kewangan Perkeso

Seramai 382 daripada 815 pekerja Kumpulan Utusan telah memfailkan tuntutan bagi mendapatkan bantuan kewangan setakat 1 November lepas, selepas pemberhentian operasi syarikat itu pada 9 Oktober lalu.

SERAMAI 382 daripada 815 pekerja Kumpulan Utusan telah memfailkan tuntutan bagi mendapatkan bantuan kewangan setakat 1 November lepas, selepas pemberhentian operasi syarikat itu pada 9 Oktober lalu.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan pada Khamis menyebut 27 permohonan telah disahkan kehilangan pekerjaan serta mencukupi syarat kelayakan caruman untuk proses bayaran daripada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi 80 tahun berakhir, kakitangan Utusan Malaysia diminta kemas barang, pulangkan harta syarikat 

“Untuk makluman, mereka yang layak akan mendapat lima bulan faedah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP). Sebagai contoh mereka yang bergaji RM4,000 layak diberi EMP RM3,160 (selepas tujuh hari menunggu); RM1,975 (bulan kedua); RM1,580 (bulan ketiga dan keempat dan RM1,185 (bulan kelima),” menurut kenyataan itu.

Perkeso turut menasihatkan baki 433 pekerja Kumpulan Utusan untuk tampil membuat tuntutan faedah SIP dalam kadar segera supaya bantuan dapat disalurkan secepat mungkin.

Menurut kenyataan itu semua pekerja terlibat boleh mengemukakan permohonan secara atas talian melalui portal eis.perkeso.gov.my atau hadir ke pejabat Perkeso.

Tambah kenyataan itu, Perkeso juga akan bekerjasama dengan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi mengenalpasti jenis latihan yang sesuai untuk ditawarkan kepada bekas pekerja Kumpulan Utusan. - BERNAMA

Utusan, Perkeso

Artikel Lain