suria

Lelaki warga Singapura berdepan hukuman mati dakwaan bunuh, kerat lapan

Seorang penghantar makanan warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan membunuh isteri dan anak lelaki tirinya di Batu Berendam, antara 6 dan 7 Oktober lepas. Foto: Bernama

SEORANG lelaki berdepan dengan hukuman mati selepas dituduh menyebabkan dua kematian.

Shahrul Nizam Zuraimy, 31, mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Norfazera Bidin,27, dan Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11, di antara jam 9 malam hingga 1 pagi di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, 10 Oktober lalu.

ARTIKEL PENUH: Kes kerat 8, kepala ibu dan anak ditemui atas loteng rumah

Shahrul Nizam berbaju hitam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Anggota polis membawa keluar bungkusan sisa badan manusia yang terdapat di lokasi kejadian Kampung Ladang Krubong minggu lalu.

Terdahulu, kira-kira 20 orang pengamal media pelbagai agensi memenuhi pekarangan mahkamah sejak jam 8 pagi.

Turut kelihatan di galeri awam, ibu mertua tertuduh, Fatimah Latif, 61 ditemani dua anaknya, Norliza dan Munirah Bidin selain menantunya.

Shahrul Nizam yang berada di dalam kandang tertuduh sesekali memandang ke arah Fatimah dan hanya tunduk sepanjang prosiding itu.

Terdahulu Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Najwa Nazari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes dan laporan bedah siasat.

Sebelum ini dilaporkan sekurang-kurangnya lapan bahagian anggota badan manusia dipercayai milik lebih seorang individu yang dibuang ke dalam semak di Kampung Ladang, Krubong.

Ekoran itu, polis menahan seorang lelaki warga Singapura yang merupakan suami mangsa bagi membantu siasatan mengikut seksyen 302 Kanun keseksaan. -Sinar Harian

Bunuh, isteri, kerat, anak

Artikel Lain