suria

Mangsa akui dengar bunyi pelik 10 minit sebelum kemalangan bas di Turki

Kemalangan melibatkan rombongan rakyat Malaysia berlaku di di Afyonkarahisar, Turki petang Rabu. Foto kredit: FB Noreen Kartal.

SEORANG rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas bas di Turki pada Rabu mengakui ada terdengar bunyi pelik pada bahagian belakang kenderaan itu sepuluh minit sebelum kemalangan berlaku.

Asana Ali yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Pekerja-Pekerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata, dia bersama 35 rakan sekerja sedang menikmati perjalanan itu dari Pamukkale ke Cappodokya sebelum kemalangan berlaku di Afyonkarahisar.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, 10 rakyat Malaysia cedera kemalangan bas di Turki

"Beberapa kawan yang duduk di bahagian belakang dengar bunyi bising. Kami maklumkan pada pemandu, dia berhenti dan periksa," ujarnya.

Namun kata pemandu itu, tiada apa yang pelik pada bas berkenaan sebelum meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun kira-kira 10 minit selepas bas meneruskan perjalanan, berlaku kemalangan yang mengorbankan seorang rakyat Malaysia dan sepuluh lagi penumpang lain cedera.

"Selepas kemalangan, kami cuba menyelamatkan diri dan kawan-kawan.

"Ada orang dari luar pecahkan cermin bas dan kami berjaya keluar," ujar Asana.

Kebanyakan mangsa sudah dibenarkan pulang manakala tujuh lagi yang cedera masih ditahan dalam wad.

Dia bercadang untuk ke Kedutaan Malaysia bagi membincangkan langkah seterusnya. - The Star.

Turki, kemalangan bas, PKNS, Asana Ali

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Penunggang basikal maut dirempuh kereta