suria

Jenazah Mejar Mohd Zahir tiba di Ipoh

Jenazah selamat tiba jam 5,45 pagi Khamis. FOTO: Sinar Harian.

JENAZAH Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, yang terkorban selepas terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah semalam selamat tiba di kampung halaman isterinya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta sekitar jam 5.45 pagi Khamis.

Allahyarham tiba dengan kereta jenazah selepas diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kuala Lumpur menaiki pesawat komersil Malaysia Airlines malam tadi.

Turut sama menyambut ketibaan jenazah adalah Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Faizal menzahirkan ucapan takziah dan menganggap Allahyarham sebagai wira negara.

Menurutnya, semangat ketenteraan yang ditunjukkan arwah dalam menjalani latihan-latihan kecekapan demi mempertahankan negara sewajarnya dikenang seluruh rakyat Malaysia.

"Secara peribadi saya anggap Allahyarham sebagai seorang hero, latihan dilakukan itu sudah tentu bukan untuk menunjukkan kehebatan diri, tetapi memperkemaskan kecekapan mereka demi keselamatan negara," katanya.

Ahmad Faizal (kanan) turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun selepas solat subuh, hari ini.

Terdahulu, hujan lebat mengiringi tahlil ringkas yang diadakan di pekarangan rumah terbabit.

Mohd Zahir yang juga anak kepada pelakon dan pelawak terkenal, AR Badul menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada jam 9.28 pagi Rabu.

Jenazah Pegawai komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas itu tiba di Masjid Al Fatih di Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur pada jam 1.48 pagi dan disembahyangkan di masjid berkenaan sebelum dibawa ke Ipoh untuk urusan pengkebumiaan.- Sinar Harian.

Artikel Lain

TMJ beri bayangan KJ bakal jadi CEO JDT