Penangan Ombak Rindu... Bukan filem tapi biskut raya air tangan penghuni penjara, nak beli? Boleh 'walk in' je - Semasa | mStar

Penangan Ombak Rindu... Bukan filem tapi biskut raya air tangan penghuni penjara, nak beli? Boleh 'walk in' je

Banduan-banduan menjalani latihan kemahiran untuk membuat biskut raya. Foto SAMUEL ONG

HANYA berbaki kurang dua minggu sahaja lagi umat Islam bakal menyambut 1 Syawal dan rakyat Malaysia khususnya sudah mula membuat persiapan raya.

Walaupun masih berpuasa di bulan Ramadan, tapi keenakan dan bau biskut raya untuk dijadikan juadah buat tetamu di hari lebaran menggoda jiwa.

Jangan pening kepala bersesak-sesak di bazar Ramadan mahupun bingit dengan keriuhan di pusat membeli-belah, anda kini boleh membeli biskut raya dengan tenang, malah menghargai hasil tangan banduan-banduan yang menjalani latihan kemahiran di penjara.

Seorang banduan sedang menyiapkan biskut raya, sambil diawasi oleh pegawai penjara.

Buat pertama kalinya pada tahun ini orang ramai boleh berkunjung sendiri (walk-in) di Galeri Produk My Pride di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di Bukit Wira di Kajang, Selangor.

Sebanyak 10 penjara antara penjara yang menghasilkan biskut raya pada tahun ini adalah di Penjara Wanita Kajang di Selangor, Penjara Bentong, Pahang; Penjara Pokok Sena dan Penjara Alor Setar di Kedah; Penjara Kluang, Johor; Penjara Sungai Udang, Melaka; Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan; Penjara Tapah dan Batu Gajah, Perak; dan Penjara Seberang Perai di Pulau Pinang.

Orang awam berkunjung ke Galeri Produk My Pride untuk membeli biskut raya.

Ketua Unit Pemasaran, Seksyen Vokasional dan Industri Bahagian Pengurusan Banduan di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Azadin Muhamd berkata, promosi biskut raya sebelum ini dibuat menerusi sistem tempahan khususnya membabitkan pihak luar secara individu mahupun syarikat-syarikat korporat.

“Namun tahun ni, kita buat secara walk-in. Bermaksud kita promosikan, orang awam boleh tengok katalog, boleh tick dulu apa yang diorang nak. 

“Dalam tempoh dua minggu ni mereka boleh datang ke galeri ibu pejabat untuk buat pembelian dan bayar secara tunai,” katanya kepada mStar.

Tart nenas antara 35 biskut raya yang dijual di Galeri Produk My Pride.

Azadin berkata, 35 daripada 103 jenis biskut raya yang dikeluarkan oleh institusi penjara yang terlibat dalam pengeluaran produk biskut raya, dipilih untuk dijual di Galeri Produk My Pride pada tahun ini.

“Kita ambil keputusan, berdasarkan item yang terlalu banyak dan menyemak prestasi jualan beberapa tahun terdahulu, kita dah buat senarai pendek.

“Pada masa yang sama, kita mengambil keputusan berdasarkan perkara-perkara yang perlu diambil kira dari segi uji rasa, kuantiti dalam pembungkusan dan kualitinya dari segi rasa biskut itu sendiri,” tambahnya.

Berdasarkan daripada sambutan terdahulu, beliau berkata, permintaan yang paling menggalakkan adalah biskut raya Almond London dan kuih semperit termasuk ‘killer product’ iaitu jenis rempeyek atau maruku.

Azadin menunjukkan biskut raya Ombak Rindu yang diberi nama sepenah filem pecah panggung arahan Osman Ali.

Selain itu, antara yang turut dijual di Galeri Produk My Pride adalah Red Velvet, Oreo Crunchy, Baby Donut, Tart Nenas, Nestum Snowy, Tart Bunga, Mazola Oat, Milky Almond, Chcoholcate Chip, Bangkit Oreo dan Cornflakes Crispy.

Dalam pada itu, biskut raya yang turut menjadi rebutan dalah Ombak Rindu, biskut perisa mocha dengan campuran badam.

Nama biskut Ombak Rindu bersempena filem romantik pecah panggung arahan Osman Ali pada 2011, lakonan Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani.

Biskut raya Almond London antara yang paling mendapat sambutan.

Azadin berkata, setiap institusi penjara boleh meletakkan nama mengikut kesesuaian berdasarkan rasa dan bahan yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu biskut raya.

“Masa mesyuarat Ombak Rindu tu ada disebut mempunyai kaitan dengan corak cerita drama apa ke. Sebenarnya ia just tarikan kepada jenis kuih tu dengan rasa tu sendiri. Bila kita makan tu, ada satu feel dia, ada ingatan,” katanya.

Selain pelbagai jenis biskut raya, turut dijual adalah rempeyek dan maruku.

Jualan biskut raya di Galeri Produk My Pride di Ibu Pejabat Penjara Malaysia dari 16 hingga 31 Mei, dibuka dari pukul 8 pagi hingga 4.30 petang setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad kecuali cuti umum.

Maklumat lanjut di laman sosial Facebook Galeri Produk My Pride dan Instagram galeri_produk_my_pride.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain