Padah nak cepat dapat status PR, peniaga ditipu RM50,000 - Semasa | mStar

Padah nak cepat dapat status PR, peniaga ditipu RM50,000

Gambar sekadar hiasan.

CUBAAN seorang peniaga wanita mendapatkan taraf penduduk tetap (PR) untuk dua pekerjanya dalam tempoh singkat memakan diri apabila ditipu sehingga kerugian RM50,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 51 tahun mendakwa wang itu diserahkan kepada suspek bernama 'Azlan' yang dikenalinya pada April lalu.

"Azlan mendakwa dirinya boleh mendapatkan MyKad PR dan meminta mangsa bersama dua pekerjanya untuk hadir ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bentong semalam, bagi urusan mengambil cap jari.

"Mangsa diarahkan membawa wang itu, yang diserahkan kepada suspek di hadapan pejabat JPN dan diarahkan menunggu sehingga namanya dipanggil.

Bagaimanapun, mangsa mendakwa suspek gagal ditemui selepas itu," katanya kepada pemberita di Kuantan, Rabu.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

PR , tipu

Artikel Sebelum

Sultan Ahmad Shah mangkat

Artikel Lain