suria

Jho Low lega, AS cuba selesai isu tuntutan barang kemas keluarga RM7.02 juta

AHLI perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low mahu segera menyelesaikan isu  tuntutan barang kemas bernilai AS$1.7 juta (RM7.02 juta) yang didakwa diberikan kepada ibunya, Evelyn Goh.

Menurut jurucakap anak kelahiran Pulau Pinang yang dalam pelarian itu, ahli perniagaan itu lega apabila mendapat tahu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan pihak berkaitan sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara itu.

“Kami mahu terus mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui peguamnya.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan, DoJ telah memeterai perjanjian dengan penjaga barang kemas berkenaan supaya ia dipulangkan ke Amerika Syarikat.

Barang kemas yang berupa sepasang anting-anting berlian yang sepadan dengan sebentuk cincin berlian merupakan antara barangan berharga yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

“Penyerahan aset defendan tidak sepatutnya dianggap sebagai pengakuan kesalahan atau liabiliti kepada penjaga semasa iaitu barang kemas tersebut atau mana-mana pihak.

“Apabila kerajaan memiliki, menjaga atau mengawal aset-aset defendan mengikut Peraturan Suplemen G mengikut  Peraturan Suplemen bagi Tuntutan Admiralti atau Maritim dan Pelucutan Hak Aset, kerajaan akan mengambil langkah melucutkan hak aset defendan,” kata Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan.

Ibu Jho Low dilaporkan menetap di Thailand ketika ini dan susulan itu juga pihak DoJ akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa negara jiran itu untuk mengeluarkan waran terhadap barang kemas berkenaan.- TheStar


Jho Low, DoJ, AS, berlian

Artikel Berikut

Artikel Lain