suria

Pelancong asing dilarang masuk Malaysia kalau tak mampu belanja RM100 sehari? Ini jawab Jabatan Imigresen

Kaunter Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor. Foto Mohd Sahar Misni

JABATAN Imigresen Malaysia menafikan dakwaan bahawa mana-mana pelancong asing yang mahu memasuki negara ini perlu menunjukkan bukti kemampuan perbelanjaan RM100 sehari.

Ketua pengarahnya, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, tiada jumlah perbelanjaan harian yang ditetapkan kepada pelawat asing selagi wang yang dibawa adalah munasabah untuk mereka berbelanja sepanjang berada di Malaysia.

"Mereka yang datang sebagai pelancong mesti mempunyai tiket pulang, tempahan penginapan atau menyatakan di mana mereka akan tinggal sepanjang tempoh berkenaan, dan mempunyai wang tunai yang mencukupi untuk sara diri. 

"Kenyataan bahawa pelancong perlu membuktikan kemampuan berbelanja RM100 sehari adalah tidak benar. Jabatan Imigresen Malaysia akan menyiasat dakwaan tersebut," katanya kepada mStar sambil menambah antara syarat kemasukan ke Malaysia adalah mempunyai pasport, dokumen perjalanan dan visa (bagi negara  yang memerlukan visa) yang sah serta bukan imigran larangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Imigresen KLIA Berjaya Sekat Lebih 7,000 Pelancong Palsu

ARTIKEL BERKAITAN: Taktik Baharu Warga Asing Terdesak Masuk Malaysia Secara Haram

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pelancong bahawa Jabatan Imigresen Malaysia menolak kemasukan mana-mana pelancong asing ke negara ini yang tidak dapat menunjukkan bukti kemampuan perbelanjaan RM100 sehari.

Selain wang tunai, Khairul Dzaimee berkata, kemudahan pembiayaan lain turut diterima seperti kad kredit dan kad debit termasuk kemudahan pembayaran tanpa tunai seperti Alipay.

Khairul Dzaimee Daud. Foto Mohd Sahar Misni

Beliau berkata, pegawai Imigresen di kaunter pintu masuk negara akan memeriksa tujuan kemasukan semua pelawat asing termasuk butiran lain sebagai pengesahan keberadaan mereka di negara ini.

"Kalau yang datang dalam rombongan bersama agensi pengembaraan lebih telus kerana semua perbelanjaan seperti urusan penginapan, makan dan minum serta lain-lain telah diaturkan agensi, berserta bukti sebagai pengesahan. Mereka yang datang secara individu atau lain-lain turut diperiksa di kaunter," ujar Khairul Dzaimee.

Beliau menambah, pelawat asing akan melalui pemeriksaan kedua (secondary check) sekiranya tujuan kemasukan mereka ke negara ini diragui. 

"Contohnya seperti datang sebagai pelancong tapi berdasarkan rekod, mereka kerap masuk dan keluar, termasuk tinggal dalam tempoh penuh yang dibenarkan," ujarnya.

Tidak mempunyai tiket penerbangan balik dan tiada wang belanja yang munasabah sepanjang di Malaysia merupakan antara sebab pelawat asing dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL).

KHAIRUL DZAIMEE

Selain dakwaan mengenai kemampuan belanja RM100 sehari, turut didakwa adalah pelawat asing perlu mengemukakan penyata akaun bank sebagai bukti di kaunter daftar masuk.

Mengulas dakwaan tersebut, Khairul Dzaimee berkata, pemeriksaan penyata akaun bank itu bergantung kepada garis panduan dan peraturan syarikat penerbangan masing-masing.

"Ada juga syarikat penerbangan mempunyai sistem untuk memeriksa rekod penumpang dengan Polis Antarabangsa (Interpol)," jelasnya.

Pelawat asing yang ditolak kemasukan ke negara ini akan dikenakan Notis Penolakan Masuk atau Not To Land (NTL) notice

"Setiap pelawat asing yang dikenakan NTL perlu dihantar pulang dengan segera oleh syarikat penerbangan yang membawa mereka ke Malaysia. Kos penghantaran pulang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat penerbangan terbabit.

"Tidak mempunyai tiket penerbangan balik dan tiada wang belanja yang munasabah sepanjang di Malaysia merupakan antara sebab pelawat asing dikenakan NTL. Contohnya, kalau pelawat asing tu hanya bawa RM300 untuk berada di Malaysia selama sebulan, sudah tentu ia tidak mencukupi," katanya.

Sehubungan itu, Khairul Dzaimee berkata, pelawat asing yang mahu memasuki Malaysia dinasihatkan mempunyai tujuan dan niat yang betul, berserta dokumen perjalanan yang sah. 

Mengikut rekod Jabatan Imigresen, sebanyak 331,752 NTL dikeluarkan kepada pelawat asing dari 2015 sehingga Februari 2019.

kemampuan belanja RM100 sehari, turut didakwa adalah pelawat asing perlu mengemukakan penyata akaun bank sebagai bukti di kaunter daftar masuk.
kemampuan belanja RM100 sehari, turut didakwa adalah pelawat asing perlu mengemukakan penyata akaun bank sebagai bukti di kaunter daftar masuk.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain