suria

Mangsa culik rakyat Malaysia cedera parah ditembak Abu Sayyaf

MANGSA culik warga Malaysia cedera ditembak dalam pertempuran antara kumpulan yang menculiknya, Abu Sayyaf dan pasukan keselamatan Filipina di Sulu, Khamis malam.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Jari Abdullah, 34 terkena beberapa das tembakan.

Susulan itu, Jari telah diterbangkan ke Zambonga City untuk mendapat rawatan lanjut.

Ketika ini, keadaannya dikatakan kritikal akibat tembakan pada kepala dan dada.

Media Filipina memetik kenyataan Leftenan Kolonel Gerry Besana sebagai berkata, Jari ditemui pasukan keselamatan negara itu pada pukul 4.25 pagi selepas kejadian tembak menembak itu.

"Mangsa culik itu cuba melarikan diri daripada Abu Sayyaf tetapi telah ditembak kumpulan itu," katanya.

Pasukan keselamatan negara itu percaya militan Abu Sayyaf diketuai Najir Arik dalam pertempuran di pulau Simusa, Barangay Bahkaan, Banguingui di Sulu.

Helikopter telah menerbangkan Jari pada pukul 7 malam ke Hospital Kuta Heneral Teodulfo Bautista di Jolo sebelum ke Zamboanga City.

Jari dan dua warga Indonesia yang juga nelayan iaitu Hari Ardiansya, 19 dan Hariadin, 45 bekerja di syarikat perikanan di Sandakan ketika diculik kumpulan bersenjata di Pegasus Reef berdekatan Kinabatangan-Lahad Datu pada 5 Disember lalu.

Difahamkan, pihak berkuasa Malaysia dan Pasukan Pemantauan Antarabangsa sedang bekerjasama dengan pentadbir Filipina berhubung insiden ini.

Beberapa bulan lalu, Abu Sayyaf ada menghubungi isteri Jari di Sandakan menuntut pihak berkuasa Malaysia menghubungi mereka bagi membincangkan pembebasannya.

Abu Sayyaf, Filipina, Jari Abdullah

Artikel Lain