suria

Kerjasama Umno-PAS bukan ancaman kaum lain

PEMIMPIN-pemimpin Umno memberitahu bahawa kerjasama politik bersama PAS tidak akan menjejaskan hubungan dengan kaum lain.

Bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan kerjasama politik itu dengan mengatakan ia akan memastikan semua hak dan kepentingan semua kaum dilindungi.

"Kita bekerjasama untuk kepentingan ummah dan pada masa sama kita akan melindungi kepentingan mereka yang lain.

"Semua pihak tidak seharusnya bimbang mengenai kerjasama Umno dan PAS," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang membandingkan penyatuan Umno-PAS dengan Taliban dari Afghanistan yang ultra konservatif.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, kerjasama politik seumpama itu bukan sahaja menjadi ancaman kepada Pakatan Harapan, bahkan seluruh negara.

Beliau mendakwa taktik sebegitu dapat dilihat dalam dua pilihan raya kecil yang dimenangi Barisan Nasional (BN) apabila penyatuan Umno dan PAS memancing pengundi Melayu.

Sementara itu, ketua pembangkang dan naib presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri menolak dakwaan penyatuan itu akan membawa Malaysia kepada negara seperti yang dikawal Taliban.

Ismail berkata, cakap-cakap tersebut merupakan cubaan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan untuk menakutkan masyarakat kerana mereka berasa terancam dengan kerjasama Umno-PAS.

"Sebab itu mereka membuat kenyataan yang tidak wajar. Jika mereka tidak takut, mereka tak akan cakap macam tu," ujar Ismail.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, tiada masyarakat etnik yang mampu mentadbir negara tanpa bekerjasama dengan kaum-kaum lain.

"Di negara ini, tiada satu kaum dapat menguruskan negara. Kita perlu bekerjasama dengan semua orang," katanya yang juga Ahli Parlimen Ketereh. - The Star

Umno, PAS

Artikel Lain