Pilih makanan tak betul punca rakyat Malaysia hidapi penyakit kronik - Perdim - Semasa | mStar

Pilih makanan tak betul punca rakyat Malaysia hidapi penyakit kronik - Perdim

RAKYAT negara ini  semakin terdedah kepada masalah kesihatan kronik seperti diabetes semata-mata kerana pemilihan makanan yang salah, demikian kata Dr Norman Mohd Norawi.

Jelas Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) itu, antara contoh pemakanan yang salah dan kurang berkhasiat apabila memilih menu dengan kandungan lemak trans, gula putih dan karbohidrat yang tinggi.

“Ini menjadi punca kepada masalah kesihatan kronik seperti diabetes, hypertensi dan sakit jantung.

"Selain itu, kurang bersenam, selain tidak melakukan aktiviti fizikal, stress melampau yang berterusan juga menyumbang kepada masalah ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, penyakit diabetes antara penyakit popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana pemilihan menu yang tidak sihat berpunca daripada kadar glukosa yang tinggi dalam saluran darah dan kegagalan fungsi pankreas untuk menghasilkan insulin dengan sempurna.

Sehubungan itu, Dr Norman menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengawal kadar gula dalam darah dengan memastikan corak pemakanan yang diamalkan dipantau dengan baik.

“Antara makanan yang wajib kita cegah untuk mengelak penyakit diabetes ialah mengurangkan pengambilan makanan bergula tinggi, hidangan bergoreng dan juadah dengan kadar kolesterol tinggi.

“Harus diingat, makanan yang mempunyai kadar gula yang tinggi adalah musuh utama pengidap diabetes seperti aiskrim, donat, pastri, coklat susu dan makanan dengan campuran manisan buatan,” jelasnya.

Dr Norman Mohd Norawi

Menyentuh mengenai program kesihatan berunsurkan larian yang pertama kali diadakan, Doctor Run 2019, yang akan diadakan Mac ini, katanya, sehingga kini, seramai 4,300 orang telah mendaftar, sekali gus hampir mencapai sasaran penganjur iaitu 5,000 peserta.

Beliau optimis jumlah peserta akan meningkat menjelang pendaftaran larian yang akan ditutup 22 Februari ini.

“Larian ini mempunyai aura yang tersendiri dengan penyertaan lebih kurang 1,700 doktor-doktor bertauliah di seluruh negara. Sokongan mereka dalam memeriahkan larian ini menunjukkan doktor menggalakan senaman fizikal bagi menjamin kesihatan optimum,” katanya.

Program pada 24 Mac ini akan bermula seawal jam 6 pagi di Dataran Merdeka yang menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang tempat pertama sehingga kelima bagi setiap kategori larian 12 kilometer dan 17 kilometer.

Bagi memeriahkan lagi pertandingan, penganjur juga turut menawarkan hadiah bagi pemenang kostum doktor terbaik selain cabutan bertuah yang kesemuanya bernilai RM15,000.

Program ini turut menyasarkan 5,000 peserta dari pengamal perubatan moden swasta serta kerajaan selain seluruh lapisan masyarakat di sekitar Lembah Klang.

makanan , diabetes

Artikel Sebelum

Lebih Artikel