suria

Gempar! Taktik baharu 'love scam' guna Islam

Gambar hiasan.

SINDIKET penipuan ‘love scam' kini dikesan menggunakan Islam untuk mempengaruhi mangsa di Terengganu sekali gus mengaut keuntungan mudah, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Beliau berkata, taktik terbaharu sindiket yang sebelum ini menggunakan cara ‘bermain cinta' itu dikesan apabila polis menerima beberapa aduan daripada mangsa yang mendakwa telah memindahkan sejumlah wang untuk membantu anggota sindiket itu mendalami agama Islam.

"Anggota sindiket akan memujuk rayu sehingga mangsa memasukkan sejumlah wang sehingga beratus ribu ringgit walaupun hanya kenal di talian," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, Ahad.

Aidi berkata, sebanyak 53 kes penipuan membabitkan 'love scam' dilapor di negeri ini tahun lepas dengan nilai kerugian sebanyak RM12 juta.

Terdahulu, Aidi menyaksikan serah terima tugas antara Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Fazlisyam Abdul Majid dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan Perundangan), Superitendan Suffian Santong yang akan memangku jawatan itu, dan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Deputi Superitendan Amran Mohd Ghani kepada timbalan beliau, Asisten Superitendan Nurul Isma Khairuddin yang akan memangku jawatan itu.

Asisten Komisoner Abdul Rahim Mat Din pula menerima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu daripada Superitendan Suffian Sulaiman yang sebelum ini memangku jawatan itu. - Bernama

love scam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain