suria

Bantuan, insentif kerajaan bukan nak raih populariti

Amiruddin Hamzah. Foto Bernama

KUBANG PASU: Bantuan serta insentif yang diumumkan kerajaan bukan untuk meraih populariti tetapi bagi memenuhi keperluan rakyat yang kurang berkemampuan dengan mengambil kira kemampuan kerajaan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Katanya, ini kerana kerajaan mendengar keluhan rakyat dan sentiasa bersedia mengkaji balik dasar bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.  

“… bila kita dengar (keluhan rakyat), kita kaji balik kedudukan kewangan, kita buat kawalan dan tengok kemampuan kewangan sebelum diumumkan sesuatu, saya ingat ia tak ada kena mengena untuk nak jadi popular,”  katanya kepada pemberita pada Program ‘Kembali ke Sekolah' bagi kawasan Parlimen Kubang Pasu di Jitra, dekat sini, Jumaat.

Pada program itu lebih 1,000 murid kurang berkemampuan menerima sumbangan pakaian sekolah serta kasut sebagai persediaan memulakan sesi persekolahan minggu depan selain 76 murid cemerlang dalam Ujian Penncapaian Sekolah Rendah mendapat sumbangan berupa wang tunai.

Amiruddin yang juga Anggota Parlimen Kubang Pasu berkata, segala yang diumumkan kerajaan juga tidak dibuat sesuka hati sebaliknya mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum dibincangkan dan dipersetujui secara bersama dalam kabinet.

Dalam pembentangan Bajet 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kenaikan kadar subsidi elektrik daripada RM20 kepada RM40 dan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang mula dibayar pada Januari depan.

Terbaharu, Lim mengumumkan tiada kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya di negara ini bermula tahun depan selain bantuan musim tengkujuh sebanyak RM600 serta memperkenalkan harga lantai getah sekerap  untuk membantu penoreh dan pekebun kecil getah. - Bernama

Amiruddin Hamzah

Artikel Sebelum

Artikel Lain