suria

Sivarraajh tak boleh tanding Cameron Highlands, disekat lima tahun

C. Sivarraajh.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan Datuk C. Sivarraajh untuk menjadi calon atau pengundi dalam mana-mana pilihan raya bagi lima tahun akan datang.

Justeru, Naib Presiden MIC itu tidak boleh bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan datang.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun, berkata keputusan itu dibuat selepas mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

"Setelah mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya bertarikh 30 November 2018 dan Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 36(2)(a) dan Laporan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 9Akta 50, bertarikh 13 Disember 2018 serta pandangan undang-undang mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya (Akta 5), Datuk Sivaraj A/L Chandran, dalam tempoh lima tahun dari 13 Disember 2018.

"Beliau tidak boleh menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Azhar Azizan berkata, SPR akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya seperti yang diperuntukan di bawah akta dan peraturan berkaitan pilihan raya sedia ada.

Calon DAP, M. Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Beliau memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi). - The Star

C. Sivarraajh, SPR, Cameron Highlands

Artikel Lain