suria

Azwanddin jatuh sebab terlanggar pasu bunga

SHAH ALAM: Polis menafikan anggotanya bertindak kasar ke atas Datuk Azwanddin Hamzah sehingga menyebabkan Pengerusi Jaringan Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) itu terjatuh ketika dibawa ke Mahkamah Klang untuk proses reman semalam seperti yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan mendapati Azwanddin hampir tersungkur ketika turun daripada kenderaan pasukan itu disebabkan tersadung dan terlanggar pasu bunga di perkarangan mahkamah.

Beliau berkata, insiden itu berlaku kerana tahanan lain yang berkongsi gari dengan Azwanddin berjalan laju tatkala Penasihat Gagasan Tiga Malaysia (G3) itu sedang melambaikan tangan kepada penyokongnya yang hadir.

“Semasa dibawa ke mahkamah semalam, Azwanddin digari di tangan kanannya bersama dua tahanan lain dan beliau terjatuh ketika dalam perjalanan masuk ke bangunan mahkamah selepas turun daripada kenderaan polis.

“Sejurus itu, anggota yang bertugas bertindak membantu mengangkat beliau semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata susulan itu, peguam yang mewakili Azwanddin, Datuk Mohd Imran Tamrin juga turut mengeluarkan kenyataan media bahawa mereka mendapat kerjasama baik daripada polis.

Shamsul Amar menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebar atau memutar belitkan maklumat mengenai insiden berkenaan kerana ia disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan ketenteraman awam selain membangkitkan keresahan masyarakat.

Tegas beliau, tindakan menyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 atau Akta Hasutan 1948.

Pada Khamis, mahkamah mengeluarkan perintah tahanan reman selama empat hari terhadap Azwanddin bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur ugutan yang dikeluarkannya pada satu perhimpunan di Klang, Selasa lepas. - Bernama

Azwanddin Hamzah, JMM

Artikel Lain