suria

Rosmah tiba di mahkamah, pakai baju kurung oren

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Mahkamah Sesyen kira-kira pukul 8.27 pagi Khamis bagi menghadapi pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Rosmah hadir menaiki kenderaan rasmi SPRM dengan diiringi pegawai suruhanjaya itu bagi dibacakan pertuduhan terhadapnya.

Beliau memakai baju kurung warna oren dan selendang rona sedondon.

Peguamnya, Datuk K Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent dilihat tiba lebih awal.

Rosmah ditahan pada pukul 3.20 petang Rabu selepas lima jam memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya untuk sesi ketiga.

Beliau juga bermalam di lokap SPRM selepas ditahan.

SPRM dalam kenyataan petang Rabu juga mengesahkan penahanan Rosmah berhubung siasatan pengubahan wang haram selepas SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Beliau akan dibawa ke Mahkamah Sesyen 9 dan pertuduhan akan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

10 minit kemudian, Datuk Seri Najib Razak, 65, tiba di di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini bagi mengikuti prosiding sebutan semula kesnya di Mahkamah Tinggi.

Beliau hadir memakai kemeja biru dan jaket hitam dilihat masuk ke perkarangan mahkamah itu menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam dengan diiringi motosikal trafik dan kereta peronda polis.

Sebaik tiba, Najib sempat bersalaman dengan beberapa pengikut beliau yang hadir seawal pukul 7 pagi bagi memberi sokongan.

Mahkamah Tinggi pada Khamis, menetapkan prosiding sebutan semula kes membabitkan tujuh pertuduhan berkaitan menerima wang hasil daripada aktiviti haram, pecah amanah dan salah guna jawatan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Rosmah Mansor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain