suria

Hanya selepas beberapa jam, pakej umrah percuma PU Amin pancing lebih 200 LGBT

PETALING JAYA: Pendakwah muda yang namanya hangat diperkatakan kerana sering memberi teguran kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tampil memperkenalkan penyelesaian secara berhemah kepada golongan itu.

Pada Rabu, Pencetus Ummah (PU) Amin telah menawarkan pakej umrah secara percuma termasuk penerbangan dan penginapan, kepada 20 individu LGBT.

“InsyaAllah, saya akan taja 20 pakej umrah percuma kepada geng LGBT. Saya mohon semua LGBT yang betul-betul tak mampu dan nak sangat pergi umrah DM (mesej secara terus) saya,” katanya di laman sosial Instagramnya sebelum ia kemudian dipadamkan.

PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, ia merupakan program yang dirancang sejak sebulan lalu, kesinambungan kepada pakej umrah yang ditawarkan secara percuma oleh sebuah syarikat pengendali umrah kepada golongan fakir miskin, mualaf dan gelandangan.

Dengan tawaran itu, PU Amin berkata, ia sedikit-sebanyak mengubah tanggapan negatif terhadap beliau berikutan tegurannya terhadap LGBT yang dikatakan terlalu keras dan keterlaluan.

Hanya beberapa jam tawaran dibuat menerusi laman sosial Instagramnya, PU Amin berkata, lebih 200 individu dengan kebanyakannya adalah lesbian menyuarakan hasrat untuk menyertai program umrah itu.

“Alhamdulillah, ia nampak bahawa teguran saya bukanlah terlampau keras, tetapi rupa-rupanya PU Amin mempunyai penyelesaian masalah secara berhemah untuk mereka berhijrah.

“Kita nak masyarakat tahu bahawa pendakwah secara keseluruhan kerjanya bukan hanya mahu menghukum, nak mengecam tetapi sediakan jalan dan cadangan untuk sama-sama berubah,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

PU Amin berkata, pihaknya akan melakukan saringan terhadap golongan yang berminat dan memilih mereka yang benar-benar berkelayakan.

“Kita akan membuat saringan dan akan memilih 20 individu LGBT, berdasarkan mereka benar-benar tidak mampu tetapi mempunyai keinginan untuk menunaikan umrah dan mahu berhijrah secara menyeluruh.

“Sebagai contoh, ada golongan mak nyah yang sebelum ini terlibat dalam kegiatan seks, dan kini dalam proses berhijrah, tinggalkan semua apa yang dilakukannya dulu untuk berubah dan insaf,” katanya.

Jelasnya, mereka yang terpilih diwajibkan untuk mengikuti kelas fardhu ain dan akidah serta kelas bimbingan Al-Quran, yang dikendalikan oleh beliau sendiri.

Tambah PU Amin, rombongan pertama ke Tanah Suci akan bermula Disember ini, dan kesemua mereka akan dibahagikan secara berkumpulan.

“Seramai 20 individu LGBT akan dibahagikan untuk menyertai beberapa kumpulan bakal jemaah yang terdiri daripada gelandangan, fakir miskin dan mualaf.

“Walaupun usaha untuk membawa mereka berhijrah diketahui umum, tetapi kita akan buat secara tertutup, tidak mendedahkan identiti mereka. Kita hanya berkongsi momen mereka di sana dengan orang ramai bahawa ini adalah usaha kita untuk membimbing golongan LGBT,” katanya.

PU Amin, LGBT

Artikel Berikut

Doa Najib buat Rosmah

Artikel Lain