6 anggota bomba lemas ketika cuba selamatkan remaja di lombong - Semasa | mStar

6 anggota bomba lemas ketika cuba selamatkan remaja di lombong

DIKEMASKINI

SERDANG: Seramai enam anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat mati lemas ketika cuba menyelamatkan seorang remaja yang terjatuh di lombong di Taman Putra Perdana, dekat sini.

Seorang jurucakap jabatan itu berkata, dalam kejadian pada pukul 9 malam Rabu, kesemua enam anggota yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat dibawa arus deras.

Pasukan itu mencari seorang remaja berusia 17 tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam lombong tersebut, pada kira-kira pukul 5.50 petang Rabu.

Difahamkan remaja berkenaan dan dua lagi memancing di lombong tersebut.

Dua rakan mangsa cuba mendapatkan bantuan daripada penduduk berdekatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, kesemua anggota bomba berjaya dinaikkan dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

"Bagaimanapun, kesemua mereka disahkan meninggal dunia.

"Dua daripada mereka dari balai bomba Shah Alam manakala empat lagi dari balai bomba Pelabuhan Klang.

"Kesemua mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.

Mereka yang maut dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.

Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

bomba

Artikel Sebelum

Mangsa berpusing-pusing dalam air

Artikel Berkaitan

Artikel Lain