Isteri era Malaysia baharu VS suami kolot: "Tak masak tak bermaksud 'not isteri enough'" - Semasa | mStar

Isteri era Malaysia baharu VS suami kolot: "Tak masak tak bermaksud 'not isteri enough'"

PETALING JAYA: Posting seorang individu di laman Twitter yang menyeru golongan lelaki supaya tidak memperisterikan wanita yang memesan makanan menggunakan aplikasi dalam talian ternyata mengundang perdebatan netizen.

Menerusi posting yang menerima lebih 5,000 ulang kicau (retweet) itu, @mirulfizz memuat naik foto papan iklan aplikasi tersebut berserta kapsyen seolah-olah mempertikaikan golongan 'isteri dari era Malaysia Baharu'.

Paparan skrin tweet lelaki itu yang menyeru supaya tidak memilih wanita yang memesan makanan menggunakan aplikasi dalam talian sebagai isteri.

Turut mendapat perhatian ialah respon balas seorang pembantu psikologi yang kelihatan tidak senada dengan kenyataan tersebut.

"Isteri saya doktor pelatih, dia pergi kerja pukul 5 pagi sehingga 10-11 malam dengan cuti sehari seminggu.

"Bila saya dapat bersama dengan isteri sekadar satu jam sehari, saya tak kisah dia tidak masak untuk saya. Tak masak bukan maksud 'not isteri
enough'," tulisnya sehingga menerima lebih 15,000 ulang kicau.

Bercerita lanjut kepada mStar Online, Aiman Amri yang bertugas di Pusat Psikologi Jiwadamai berkata dia berasa terpanggil untuk berkongsi pendapat di Twitter kerana tidak bersetuju dengan kenyataan asal lelaki berkenaan.

Respon Aiman terhadap tweet lelaki itu nyata menarik perhatian ramai .

Malah katanya lagi, kemampuan seorang isteri untuk memasak tidak sepatutnya menjadi kayu ukur dalam sesebuah perkahwinan.

"Kalau tengok tweet asal lelaki itu macam menunjukkan yang kemampuan memasak adalah kayu ukur untuk jadi isteri.

"Pada saya, memesan makanan dalam talian tu pun dah kira satu kelebihan daripada tak ada langsung makanan yang terhidang.

"Setiap pasangan juga ada perjalanan dan kisah yang berbeza, jadi tidak wajar untuk membuat tanggapan secara pukul rata," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut Aiman lagi, dia juga tidak kisah jika golongan isteri tidak sempat memasak kerana banyak lagi perkara lain yang boleh disumbangkan mereka demi kesejahteraan rumah tangga.

Antara komen-komen netizen berhubung kenyataan lelaki tersebut.

Selain Aiman, beberapa pelayar Twitter yang lain turut menyelar kenyataan lelaki tersebut.

"Nak pilih suami, pastikan suami yang tak berfikiran cetek. Sebab kalau suami yang berfikiran cetek, dia ingat memasak ni isteri wajib buat, tak kira penat ke apa. Asal perut dia kenyang," tulis @heydahyun.

"Semoga wanita di luar sana berkahwin dengan lelaki yang rajin membantu. Bukan dengan laki yang otaknya masih di zaman dulu, fikir kerja rumah adalah 100 peratus tugas wanita/isteri. Lagi-lagi kalau isteri pun bekerja. Bertimbang rasalah dengan pasangan anda semua," tulis @featwren pula.

"Nak pilih suami pula pastikan pilih yang era baru sebab era lama kolot sikit. Isteri kena buat semua kerja rumah dari celik mata sampai tidur sedangkan suami cuma kerja dari pagi sampai petang. Suami era lama juga mahu isteri cantik tapi kedekut untuk spend duit," tulis seorang lagi netizen yang kelihatan berang dengan kenyataan lelaki tersebut.

Aiman Amri , tugas isteri , aplikasi

Artikel Sebelum

Sembunyi dadah bawah timbunan tayar

Artikel Berikut

Tabung RM1 Saiful Bukhari kutip RM555

Artikel Lain