suria

Sembunyi dadah bawah timbunan tayar

KUANTAN: Helah seorang lelaki menyembunyikan dadah di bawah timbunan tayar tidak berjaya apabila dia ditahan pada serbuan di rumahnya di Kampung Sarang Tiong, Tanjung Gemok Rompin dekat sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superitendan Azli Mohd Noor berkata suspek yang berusia 37 tahun ditahan pada pukul 3.30 pagi Selasa, beberapa jam selepas penahanan tiga suspek dadah di sebuah pondok di kampung berkenaan.

Tiga suspek berusia antara 39 dan 16 tahun, semuanya positif dadah jenis syabu, ditahan bersama-sama 5.48 gram dadah jenis titu yang dianggarkan bernilai RM800.

"Siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 16 tahun telah mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada rakan sekampung yang seterusnya membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di situ.

"Pemeriksaan di kawasan luar rumah menemui satu bekas plastik berwarna coklat berisi 12 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 78.42 gram yang bernilai RM4,000.

"Selain itu, polis juga menemui wang tunai pelbagai not berjumlah RM4,117 di bawah timbunan tayar itu," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Azli menambah turut ditahan ialah isteri lelaki berkenaan yang berusia 35 tahun.

Katanya, pasangan suami isteri itu kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Manakala tiga suspek lagi turut direman empat hari dan siasatan mengikut Seksyen 39A(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum lima tahun dan sebatan sehingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.  -- Bernama

tayar, dadah, Tanjung Gemok

Artikel Lain