suria

Guru besar meninggal dunia selepas rebah di perhimpunan sekolah

BATU PAHAT: Warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Peng 1 gempar pada Ahad apabila guru besarnya, Kerk Kian Sin tiba-tiba rebah ketika perhimpunan sekolah itu berlangsung pada pukul 7.30 pagi.

Bagaimanapun,  lelaki itu yang berusia 55 tahun, kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Yong Peng.

Mangsa yang mula bertugas di sekolah berkenaan sejak November tahun lalu itu, sedang menyampaikan ucapan ketika kejadian sebelum tiba-tiba rebah di atas pentas perhimpunan.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu, Kuo Wei Ching berkata, Kian Sin sempat berucap selama 15 minit dan hampir menghabiskan ucapan mingguannya itu di hadapan 908 murid sekolah berkenaan.

“Selepas dia rebah, seorang guru Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) cuba memberi bantuan segera namun tidak berjaya dan kami terus membawanya ke Klinik Kesihatan Yong Peng.

“Sebaik tiba di klinik, doktor telah mencuba sehabis mungkin untuk menyelamatkannya tetapi tidak berjaya dan dia kemudiannya disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim, ketika dihubungi petang tadi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit. - Bernama

guru besar, rebah

Artikel Berikut

Artikel Lain